Gambar Hiasan |
KEMAMAN - Seramai tujuh orang remaja lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pukul seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di Kuala Terengganu yang tersebar luas di laman sosial semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP Wan Abdul Aziz Wan Hamzah berkata kesemua pelajar yang berusia 14 tahun itu diberkas antara pukul 12.20 hingga 12.50 pagi tadi di sekitar Kuala Terengganu.
Katanya susulan kejadian Khamis lalu mangsa yang juga pelajar tingkatan dua sekolah berkenaan mengalami kesan lebam dan lemah anggota badan dan gagal hadir ke sekolah.
"Video (berdurasi 1 minit 45 saat) telah tersebar melalui group whatsapp sebelum tersebar luas ke laman Youtube dan Facebook," katanya ketika ditemui pemberita di sini Isnin.
Menurutnya ekoran penyebaran video tersebut bapa mangsa tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira pukul 11 pagi semalam.
Beliau berkata siasatan lanjut dan motif sebenar kejadian masih disiasat dan kesemua mereka ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Sumber; mStar