Marwazi (kiri) mengambil kesempatan beramah mesra dengan sebahagian murid Pusat Pendidikan Anak-anak Rohingya Baitul Rahmah. |
ALOR SETAR – Rakyat di negara ini dinasihatkan tidak leka berpolitik sehingga mengabaikan kepentingan masyarakat.
Timbalan Mufti Kedah, Syeikh Marwazi Dziyauddin berkata, perkara itu perlu diingat supaya negara sendiri tidak tergadai.
“Memang seronok bercakap hal politik yang mengambil tempat di seluruh media ketika ini.
“Malah, ia juga membuatkan semua pihak leka melayani politik sehingga tidak ambil berat isu semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis pelancaran Pusat Pendidikan Anak-anak Rohingya Baitul Rahmah Cawangan Alor Setar di bangunan wakaf Masjid Halim Shah, Seberang Pantai Johor, di sini.
Turut hadir, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid dan bekas Mufti Kedah, Tan Sri Sheikh Abdul Majid Mohd Noor.
Menurutnya, keasyikan berpolitik juga menyebabkan hal kepentingan dan kebajikan rakyat dipinggirkan, khususnya berkaitan nasib pelarian Rohingya di negara ini.
“Apabila masing-masing sibuk berfikir untuk mencari pengaruh, penyokong dan sebagainya, kita lupa hal-hal lain seperti ekonomi, sosial serta budaya di negara ini.
“Kita harap pemimpin dapat melihat semua aspek ini sama rata. Soal jawatan dan sebagainya hanya sifat sementara. Ini bukan masa untuk melayani populariti tersebut.
"Sekarang masa untuk bekerja membantu masyarakat tanpa mengambil kira perbezaan agama mahupun bangsa," katanya.
Sumber: Sinar Harian