"Ramli Merdeka" Anak Kedah Ikrar Semarakkan Hari Kebangsaan 31 Ogos Ini

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Warisan Datuk Mohd Rawi Abd Hamid (kanan) dan pemilik kenderaan Ramli Mustafa, 62, (kiri) melaungkan 'Merdeka' pada majlis pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan 2015 peringkat negeri hari ini. - Foto BERNAMA
ALOR SETAR - Setiap kali menjelang ketibaan 31 Ogos, Ramli Mustafa akan menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan itu dengan mengecat van miliknya dengan Jalur Gemilang.
    
Sejak lima tahun lepas, Ramli, 62, dari Kampung Borhan, Jalan Langgar, di sini akan mengambil inisiatif melukis sendiri Jalur Gemilang dengan menggunakan cat pada van Toyota Liteace yang dibelinya pada 2007.
    
Bapa lapan anak itu yang turut digelar 'Ramli Merdeka' oleh rakan-rakannya, berkata dia mengambil masa tiga hari untuk menyiapkan lakaran Jalur Gemilang pada kenderaan tersebut yang turut digunakannya untuk aktiviti harian.
    
Usaha menyiapkan lakaran itu tidak memerlukan kos yang besar kerana dia menggunakan lebihan cat kenderaan sedia ada manakala peralatan mengecat pula miliknya sendiri.
    
"Tujuan saya untuk mengajak generasi muda bersama-sama tunjukkan semangat cinta pada negara dengan kibarkan Jalur Gemilang. Warga emas seperti saya boleh lakukan seperti ini kenapa tidak generasi muda yang serba moden," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
    

Selain Jalur Gemilang, van itu turut dihiasi gambar kepimpinan negara dan tema sambutan Hari Kebangsaan yang berbeza setiap tahun.
    
Ramli, yang bekerja sendiri, turut mempunyai sepasang baju Jalur Gemilang jahitan tangan yang dihasilkan sendiri dan hanya dipakai pada waktu tertentu sahaja seperti majlis kempen kibar Jalur Gemilang dan sambutan Hari Kebangsaan.     

Katanya usaha itu turut mendapat sokongan isterinya Siti Jamilah Ismail, 57, serta anak mereka iaitu lima lelaki dan tiga perempuan berusia 25 hingga 40 tahun.
    
Ramli berharap apa yang dilakukannya akan menjadi ikutan generasi muda agar sayangkan negara ini dan tidak melakukan kegiatan tidak berfaedah seperti demonstrasi haram yang boleh menjejaskan keharmonian negara.
    
"Saya sayangkan negara tercinta ini kerana saya tahu betapa sukarnya pemimpin terdahulu berusaha untuk dapatkan kemerdekaan sehingga kita bebas untuk hidup dengan aman dan tenteram," katanya. - Bernama