Bantuan kira-kira 300 penduduk tempatan melancarkan usaha mengusung 27 mayat keluar dari lokasi pesawat terhempas di pendalaman timur Indonesia. |
JAYAPURA - Hutan tebal dan cuaca buruk menyukarkan pasukan penyelamat untuk membawa keluar mayat 54 mangsa yang terbunuh dalam kejadian pesawat terhempas di kawasan pedalaman di timur Indonesia.
Terbaharu, 27 mayat terpaksa diusung dengan meredah hutan di lereng gunung yang mengambil masa lima jam untuk tiba di penempatan Oksibil selepas usaha mengangkutnya menggunakan helikopter terjejas akibat cuaca buruk.
Jurucakap tentera Pudji Teguh Rahardjo berkata, pihaknya turut mendapat bantuan kira-kira 300 penduduk tempatan untuk mengusung mayat berkenaan sebelum ia diterbangkan ke Jayapura untuk proses pengecaman.
“Keadaan cuaca yang buruk tidak memungkinkan kami menggunakan helikopter, oleh itu kami terpaksa mengusung mayat berkenaan menerusi jalan darat dan ia mengambil masa kira-kira lima jam untuk tiba di Oksibili” kata Pudji.
Tragedi itu adalah kemalangan udara terbaharu di Indonesia, negara yang mempunyai rekod keselamatan penerbangan yang buruk dan menyaksikan beberapa kemalangan besar sejak beberapa tahun lalu.
Pesawat turboprop ATR 42-300 itu turut membawa wang tunai berjumlah Rp6.5 bilion (RM1.92 juta) untuk diagihkan kepada penduduk miskin.
Wang tunai itu berjaya ditemui pasukan penyelamat, tetapi sebahagiannya hangus akibat terbakar.
Dalam pada itu, pasukan tiga penyiasat penerbangan dari Perancis bersama empat penasihat teknikal syarikat ATR yang mengeluarkan pesawat malang itu dilapor dalam penerbangan ke Indonesia bagi membantu siasatan nahas berkenaan.
Pesawat itu terputus hubungan dengan menara kawalan, 10 minit selepas meminta kebenaran mendarat dalam kabus tebal dan hujan lebat.
Sumber: mStar