Reen Rahim tidak mengambil serius mengenai gosip dia berpegangan tangan dengan seorang lelaki yang didakwa sebagai teman lelakinya. Foto Ihsan Instagram Reen Rahim. |
Pelakon Reen Rahim tidak mengambil serius berhubung gosip terbaharu mengenainya yang mendakwa dia dilihat mesra dan berpegangan tangan dengan seorang lelaki ketika memasuki sebuah restoran dipercayai teman lelakinya baru-baru ini.
Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Rahim, 27, berkata, ia bukan satu isu besar kerana dia tidak melakukan perkara tidak senonoh ditempat awam.
"Pihak yang nampak saya itu terang-terangan ditempat awam dan siapa jejaka berkenaan rasanya tidak perlu saya huraikan kerana sebagai seorang manusia biasa saya juga berhak untuk berkawan," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Reen berkata, buat masa ini dia masih belum bersedia untuk bercakap mengenai jejaka berkenaan kerana ia peribadi.
Pun begitu kata Reen, dia juga tidak berhasrat untuk menyorok statusnya kerana baginya ia bukan perkara menarik untuk dihebahkan.
"Jika saya ingin sorok mengenai hubungan cinta saya lebih baik saya 'dating' dekat tempat tertutup tetapi secara dasarnya saya tidak selesa bercakap mengenainya. Pada yang tahu, tahulah," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Reen berkata, selain sibuk dengan aktiviti lakonan dia baharu sahaja membuka sebuah butik pakaian di Andalas, Klang dekat sini.
Jelas Reen, dia mengambil keputusan untuk membuka butik berkenaan selepas menerima sambutan baik daripada pelanggan ketika menjual produknya secara kecil-kecilan Ramadan lalu.
"Saya fokus kepada pakaian lelaki dan Alhamdulillah semasa cuba berniaga pada Ramadan lalu ia mendapat sambutan yang cukup baik.
"Rezeki saya, selepas Hari Raya lalu dapat peluang membuka butik dan saya terus terima untuk mulakan perniagaan tersebut dengan lebih meluas," jelasnya.
Selain itu, Reen berkata, dia juga bakal memasuki set penggambaran filem Cinta Dan Air Mata arahan Seniwati Datin Rosnani Jamil."Filem berkenaan turut menampilkan Arja Lee dan penggambaran akan bermula pada 15 Ogos ini," katanya.
Sumber: mStar