Seorang penduduk menggunakan jambatan kayu berkenaan. |
ALOR SETAR - Penduduk di sekitar Kampung Tok Temenggung, di sini memohon agar jambatan kayu usang yang didakwa berusia kira-kira 30 tahun dibaiki berikutan sudah lama dan mereput.
Wakil penduduk, Abdul Mutalib Ariffin, 72, berkata, jambatan kayu itu menjadi laluan pintas kira-kira 1,000 penduduk setempat dan sekitar hampir setiap hari.
"Jalan itu turut menjadi laluan penduduk Kampung Tok Temenggung, Alor Semela Timur, Gerigis dan Alor Melintang yang melalui jambatan sepanjang hampir 100 meter untuk melakukan aktiviti harian mereka.
"Bagaimanapun keadaan jambatan usang yang telah lama, malah mereput di bahagian tertentu mendatangkan masalah kepada penduduk untuk melalui jambatan itu," katanya.
Lebih memburukkan lagi katanya, dahulu ada kereta didakwa mengambil kesempatan menggunakan jambatan kayu itu untuk tiba ke sesuatu tempat dengan lebih cepat.
"Itu menyebabkan penduduk bimbang menggunakan jambatan kayu itu dan memikirkan risiko yang harus diambil," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Bantuan Bertindak Negeri Kedah (PBBNK), Thana Chew Ne Meng berkata, pihak mereka menerima aduan penduduk tempatan mengenai masalah jambatan, kelmarin.
Menurutnya, pihak mereka terlebih dahulu turun padang meninjau keadaan jambatan sekali gus mengenal pasti beberapa kerosakan dialami jambatan itu.
"Penduduk memaklumkan mereka memerlukan jambatan baharu menggantikan jambatan kayu untuk kegunaan harian mereka.
"Mereka memohon pihak berkenaan membina jambatan konkrit bagi memudahkan penduduk berulang-alik," katanya.
Tinjauan Sinar Harian mendapati hanya pengguna berpengalaman mampu menunggang motosikal di atas jambatan berkenaan disebabkan ada bahagian tertentu sudah rosak. -Sinar Harian