Ribut Di Kedah: 40 Buah Rumah Di 7 Mukim Rosak


KULIM - Sekurang-kurangnya  40 rumah di tujuh mukim di daerah ini berdepan kerugian apabila kediaman mereka rosak dilanda ribut dalam satu kejadian, petang kelmarin.

Penduduk, Fatimah Said, 68, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di rumah dan hujan agak lebat dengan angin yang kuat.

"Ketika itu saya hanya bersendirian di rumah berikutan anak dan cucu keluar.

"Saya pun tak sedar bila atap di bahagian tengah rumah dibawa angin. Bila hujan sudah reda baru saya sedar bahagian tengah rumah sudah basah dimasuki air hujan," katanya yang tinggal di Taman Bunga Raya, Padang Serai.

Menurutnya, beberapa barangan elektrik juga turut rosak akibat terkena air hujan dan kerugian dianggarkan ribuan ringgit.

"Saya tak sempat nak selamatkan apa-apa. Kejadian berlaku tanpa diduga dan sepantas kilat," katanya.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mohamad Zarir Mohamad Khozali berkata, kakitangan JKM telah pun turun padang dan melawat kita-kira sembilan kampung dalam tujuh mukim yang terlibat dalam kejadian itu.

Menurutnya, bahagian bumbung rumah antara yang rosak selain pokok tumbang turut menghempap rumah penduduk.

"Kakitangan kita telah turun menyiasat dan mengambil maklumat mangsa.

"Kita akan sedaya upaya menyegerakan pemberian bantuan kepada mangsa yang betul-betul memerlukan baik pulih semula rumah," katanya.

Manakala, sebanyak 13 buah rumah di Mukim Serdang juga mengalami kerosakan dalam kejadian angin kuat petang kelmarin.

Sumber: Sinar Harian