Rogol Anak Tiri, Peniaga Pasar Malam Dipenjara 17 Tahun, 10 Sebatan

Peniaga pasar malam yang merogol anak tiri berusia 14 tahun ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, pagi tadi. - Foto oleh Muhamaad Razis Ismail
Kota Bharu – Seorang peniaga pasar malam dipenjara 17 tahun dan dikenakan 10 sebatan selepas didapati bersalah merogol anak tirinya berusia 14 tahun di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, semalam.

Hakim Mohd Yusoff Yunus menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati tertuduh yang berusia 35 tahun, gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir pembelaan.

Mahkamah memerintahkan hukuman bermula semalam.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol mangsa berusia 14 tahun lima bulan ketika kejadian di sebuah rumah di Melor di sini, jam 3 pagi, 4 Mac 2013.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan minimum 10 sebatan jika sabit kesalahan. - myMetro