Muhamad Saman sudah tidak mampu berjalan dan bekerja. |
KUALA KEDAH - Tiga beranak di Teluk Chengai, Jalan Kuala Kedah, di sini, terpaksa meneruskan hidup dalam kebimbangan berikutan rumah sewa yang didiami mereka sejak 15 tahun lalu reput.
Muhamad Saman Rasul, 63, berkata, rumah didiaminya bersama isteri, Sharifatul Hayati Hassan, 54, dan anaknya, Nurul Fadhilah, 29, boleh runtuh bila-bila masa.
"Kami hanya gunakan ruang bawah rumah, bahagian atas tidak boleh digunakan lagi sebab dah reput.
"Malah, baru-baru ini, kami anak beranak ketakutan masa ribut melanda. Takut-takut kami ditimpa kayu alang reput yang patah," katanya.
Menurutnya, dia tidak mampu membaiki kerosakan kerana kewangan terhad.
"Kalau dulu, walaupun kena sakit gout saya masih boleh cari rezeki bawa lori dan jadi pengamal perubatan tradisional.
"Hidup kami bertambah susah kini, saya dah tak kerja sejak sembilan bulan lalu sebab tak boleh jalan," katanya.
Katanya, keadaan semakin mendesak apabila dia memerlukan kira-kira RM200 sebulan untuk kos rawatan penyakitnya.
"Kalau dulu, dengan hasil bawa lori dan mengubat orang saya mampu juga sara isteri dan anak, walaupun pendapatan tak menentu.
"Sekarang, memang susah sebab saya sakit dan tiada sumber pendapatan," katanya.
Sementara itu, Sharifatul Hayati berkata, mereka memerlukan sejumlah wang untuk menampung kos lampin pakai buang dan ubat khas untuk membersihkan luka pada kaki suaminya setiap hari.
"Sekarang kami bergantung hidup dengan pendapatan anak yang menjadi pengamal perubatan tradisional.
"Memang tak cukup untuk sara hidup, apatah lagi nak baiki rumah," katanya.
Menurutnya, mereka sekeluarga mengimpikan kediaman yang selamat.
"Saya rayu beban ini diringankan. Malah, saya berharap ada yang sudi memberi bantuan rumah yang selamat untuk kami diami," katanya.
Sumber: Sinar Harian