Sabung Anjing Dianggap Kalah Jika Darah Menitis Atas Salji

Sabung anjing atau ‘dog fighting’ adalah aktiviti yang pernah diharamkan dan dihentikan di Afghanistan kerana dianggap sebagai tindakan yang kejam terhadap haiwan. Ia diharamkan di bawah pemerintahan Taliban.

Namun pada 2001, aktiviti itu kembali aktif di Afghanistan. Sebuah kawasan luas dijadikan sebagai tempat aktiviti itu berlangsung. Penonton lelaki dan kanak-kanak akan memenuhi kawasan itu untuk menonton pertarungan yang diadakan.

Pertandingan ‘dog fighting’ ini dikatakan warisan nenek moyang dalam masyarakat mereka. Seseorang yang mengambil bahagian biasanya memiliki beberapa ekor anjing yang dibela dan dilatih untuk tujuan sukan ini. Minoriti ini boleh ditemui di bahagian wilayah barat laut Badghis dan Kabul.

Sewaktu pertarungan berlangsung penolong pengadil menarik kain hijau yang memisahkan dua anjing ganas yang kemudian bertarung satu sama lain.

Bunyi gigi bertemu daging dan tulang menarik perhatian dan sorakan daripada penonton. Pertarungan itu berlangsung sehingga darah menitis ke salji. Bagaimanapun, ia tidaklah sehingga melibatkan kematian. Sekiranya anjing itu kelihatan lemah, ia dianggap kalah dan dikeluarkan dari gelanggang.

Di wilayah Char Asiab, seorang bekas mujahid menjalankan ‘dog fighting’ setiap minggu. Dia mengenakan bayaran 50 afghanis (kira-kira RM4) setiap seorang untuk memasuki medan pertarungan yang dijaga pengawal bersenjata. Ia tempat yang agak selamat untuk orang ramai menonton pertarungan itu.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, beberapa wilayah mengumumkan akan mengharamkan ‘dog fighting’ kepada orang awam. Larangan itu tiada hubungannya dengan hak asasi haiwan, tetapi bimbang aktiviti itu menimbulkan konflik manusia.

Daripada semua sukan unik di rantau ini, buzkashi adalah satu-satunya sukan yang dibenarkan. Buzkashi atau dikenali sebagai ‘berebut kambing’ merupakan sukan tradisional Asia Tengah. Awalnya, pertandingan ini boleh menelan masa berhari-hari, tetapi sekarang tidak lagi kerana ia sudah diberi had masa perlawanan.

Sukan ini dikatakan bermula kira-kira pada zaman Genghis Khan dan penunggang kuda Mongol di Asia Tengah. Buzkashi permainan kegemaran mereka dan dimainkan dalam kalangan suku-suku Pashtun, Kazakh, Uzbek, Hazara, Tajik, Kyrgyz serta Turkmen.

Permainan ini dimainkan dua pasukan yang biasanya dianggotai 10 hingga 20 orang yang bertarung untuk mengheret bangkai kambing ke gawang.

Selain sabung anjing dan buzkashi, kauk ataupun sabung ayam juga antara sukan yang sering dijalankan penduduk Afghanistan. Permainan ini diadakan di Kabul dan berlangsung 10 hingga 20 minit bagi setiap empat hingga enam pusingan.

Baz Ali, 61, menangkap kauk pertamanya di pergunungan Baghlan, utara Kabul, sewaktu masih kecil. Dia kini memiliki tiga ekor kauk yang berharga AS$100 hingga AS$10,000 (RM380-38,000). Kadang-kadang Baz Ali ke Kabul hampir setiap Jumaat untuk membuat taruhan, tetapi biasanya dia hanya menonton bersama rakannya.


Chama-e-Hozori pula terkenal dengan acara pahlawani, permainan gusti tradisional Afghanistan yang popular sejak abad keempat zaman Alexander the Great. Cara permainannnya dua lelaki diletakan dalam gelanggang dan berlawan seperti peninju.

Mereka memakai pakaian tebal seakan kimono. Masing-masing memakai kain selendang yang diikat longgar pada pinggang. Ia acara yang sering dimainkan penduduk di wilayah Badghis.

Apabila tentera Alexander mara ke timur selepas menakluki Parsi, pahlawani digunakan sebagai cara untuk menyelesaikan pertikaian di antara kumpulan suku. Ahli gusti yang kalah dipotong kepala dan orang-orangnya ditangkap serta dihukum bekerja dengan kumpulan yang menang. Bagaimanapun, pertaruhan sebegitu tidak lagi dipraktik pada zaman ini. Orang yang kalah hanya menanggung malu.

Sumber: myMetro