Sambut Hari Kebangsaan Lebih Patriotik Dari Sibuk Berdemo Bersih 4.0

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Bersempena bulan kemerdekaan yang bakal menjelang 31 Ogos ini, mengingati hari kebangsaan tersebut merupakan usaha lebih patriotik berbanding turun menyertai demonstrasi Bersih 4.0, ujar Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Menerusi laporan portal rasmi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), beliau turut berkata, demonstrasi jalanan bukanlah jalan terbaik untuk menunjukkan semangat patriotik terhadap tanahair, apatah lagi untuk menegakkan keadilan.

“Takkan kerana beberapa orang dalam Bersih, kononnya buat demi kepentingan demokrasi, lagi 30 juta tak sertai, adakah mereka dikatakan tidak mempunyai semangat?

“Adakah itu bermakna orang yang tak sertai ini mereka tidak patriotik padahal jumlah mereka (perserta Bersih) kecil berbanding jumlah penduduk negara kita ni, jadi untuk mengingati hari kebangsaan dan mengingati anggota polis yang terkorban untuk menentang komunis, itu lebih patriotik pada saya berbanding demonstrasi Bersih ini,” ujarnya seperti disiarkan BNBBC.


Sementara itu, memberi ulasan tentang keputusan pihak berkuasa tidak membenarkan Bersih 4.0 diadakan di Dataran Merdeka pada 29 dan 30 Ogos depan, beliau berkata ia merupakan keputusan wajar.

“Sudah pasti persiapan untuk menyambut Hari Kemerdekaan akan dibuat pada hari sebelumnya, sebab itu polis melarang mereka untuk buat demontrasi sekitar Dataran Merdeka dan Padang Merbok, kalau demo nak dibuat pada tempat yang sama juga, ia akan menganggu gugat harta benda di situ.”

Jazlan berkata, situasi berkenaan akan menyebabkan peningkatan terhadap kos untuk mengawal keselamatan disebabkan jumlah peserta yang terlibat dengan latihan Hari Merdeka. -Kedahnews.com