Sambutan Aidilfitri Meriah, Tapi Masjid Terbiar Sepi Lepas Ramadhan...

Gambar Hiasan
Sambutan Aidilfitri terus meriah. Di sana sini, makin banyak penganjuran rumah terbuka hari raya. Ternyata ramai yang mengunjungi rumah-rumah terbuka terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.

Di sebalik kemeriahan itu, masjid dan surau nampaknya kini makin lengang. Pesta ibadat dalam bulan Ramadan nampaknya berlalu bersama-sama berakhirnya bulan mulia itu. Kalau dalam Ramadan, ada 10 saf jemaah yang solat Subuh di masjid dan surau kini hanya tinggal satu saf atau dua. Rumah Allah jadi sepi.

Allah SWT sudah memberikan peringatan, tujuan puasa adalah melahirkan orang yang bertakwa. Ini bukanlah semudah kita menyebutnya tetapi ia adalah proses yang rumit. Allah SWT berfirman yang bermaksud: 
"Wahai orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ia diwajibkan ke atas orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa kepada Allah SWT". (al-Baqarah-183)
Kalimah la’alla yang dijadikan sendi firman-Nya dalam tersebut sudah sedia melontarkan konotasi ‘mudah-mudahan’, tanda tidak semua daripada kita berhasil mencapai takwa di hujung Ramadan.

Erti takwa adalah seperti yang digambarkan oleh Ubai bin Kaab, apabila ditanya oleh Saidina Umar mengenainya. Takwa kata Ubai: “seperti seorang yang sedang melalui jalan yang penuh duri”. Maksudnya sangat berhati-hati agar tercegah daripada memijak duri.

Oleh itu, orang yang bertakwa amat berhati-hati menjaga hukum Allah selain berusaha mencegah dirinya daripada melakukan perbuatan yang diharamkan. Bagi menilai sama ada mencapai takwa atau sebaliknya, ada beberapa ciri yang boleh kita perhatikan.

Pertama, bagaimana sikap individu itu terhadap kefarduan solat. Jika sebelum Ramadan, dia seorang yang tidak pernah meninggalkan solat, selepas Ramadan pastinya dia akan cuba istiqamah untuk solat jemaah lima waktu pula.


Solat jemaah bukan sahaja mendapat ganjaran pahala lebih 27 kali ganda daripada solat bersendirian. Lebih penting, solat jemaah itu hukumnya fardu kifayah. Maknanya, jika dalam sesuatu kawasan perumahan atau pejabat itu jika tidak didirikan solat jemaah maka seluruh penduduknya berdosa.

Kedua, bagaimana sikap kita terhadap penjagaan masa. Jika dalam Ramadan kita amat menjaga masa terutama waktu sahur dan berbuka adakah kita melakukan perkara yang sama kini? Waktu sahur diperhatikan agar tidak melanggar batas waktunya manakala waktu berbuka atau Maghrib pula ditunggu-tunggu. Ia selari dengan anjuran menyegerakan waktu berbuka puasa.

Soalnya, adakah kita kini memerhatikan masa-masa tersebut. Adakah kita sentiasa menunggu-nunggu waktu untuk solat Subuh dan waktu solat lima waktu yang lain? Atau adakah kita kini semakin dilalaikan dengan keseronokan dunia yang sementara.

Ketiga, bagaimana pula akhlak kita sebagai Muslim. Adakah selepas Ramadan kita masih mengulangi tabiat lama suka mengata orang, mengumpat, bercakap bohong, menyakiti orang dan sebagainya? Jika perangai buruk itu masih melekat pada diri kita, maka besar kemungkinan kita belum mencapai tahap takwa.

Mana mungkin mencapai tahap takwa jika kita gagal mempertahankan segala amal baik yang dilakukan sepanjang Ramadan. Sebabnya dalam Ramadan syaitan diikat dan nafsu kita lemah. Dalam bulan Syawal kita sudah kembali kepada fitrah dan realiti berhadapan pelbagai cabaran dan dugaan untuk melakukan kebaikan.

Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: 
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka belum diuji?" (al-Ankabut: 2)
Justeru, marilah kita mempertahankan amalan yang baik sepanjang Ramadan. Terutamanya dalam bab solat berjemaah. Hayatilah pesan Saidina Ali, beruntunglah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam, rugilah orang yang hari ininya sama dengan semalam dan celakalah orang yang hari ini lebih buruk daripada semalam.

Sumber: Utusan