Sarang Dadah Di Pokok Sena Diserbu, Polis Berkas 81 Penagih


POKOK SENA - Polis menahan 81 individu termasuk seorang remaja perempuan berumur 15 tahun dan merampas pelbagai jenis dadah dalam operasi di sekitar Pokok Sena di sini. 

Timbalan Komander Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman Datuk Abdul Jalil Hassan berkata operasi bermula 4 petang semalam sehingga 12 tengah hari, hari ini menumpukan pada enam lokasi dikenal pasti sebagai sarang penagih dadah. 

"Kebanyakan sarang yang diwujudkan ini masih baharu, dan kita nak musnahkan ... mereka yang ditahan adalah daripada luar (daerah ini) dan penduduk kampung (daerah ini)," katanya kepada pemberita selepas operasi itu hari ini. 

Beliau berkata dalam operasi itu, polis merampas pelbagai jenis dadah iaitu  9.66 gram heroin, 2.27 gram syabu, 1.30 gram ganja, 2,000 gram daun ketum dan dua liter air ketum. 

"Operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama-sama JSJN Kedah dan dibantu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kedah," katanya.

Abdul Jalil berkata kesemua yang ditahan terdiri 78 lelaki dan tiga wanita berumur antara 15 hingga 57 tahun itu  dibawa ke IPK Kedah untuk menjalani ujian air kencing.

Beliau meminta kerjasama penduduk kampung agar melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan mereka. - Bernama