"Saya Bukan Perempuan Murahan," Kata Farah Mendoza


Tindakan berani Farah Mendoza, 25, mendedahkan kandungan perbualan dengan pelakon Fizz Fairuz menerusi aplikasi WeChat mengundang perhatian banyak pihak.

Sekelip mata nama pelakon baru ini hangat diperkatakan. Farah atau nama sebenarnya, Nur Faralina Md Yunus pernah muncul dalam drama Projek Memikat Suami, Suamiku Encik Sotong, Cupcake Mama dan Selipar Jepun Stiletto Merah.

Kandungan perbualan itu menjadi viral pada 14 Ogos lalu, namun suami kepada pelakon Almy Nadia itu menafikan mengenali Farah.

Ketika ditemui baru-baru ini, Farah mengakui sengaja memaparkan kandungan perbualan itu dengan harapan Fizz tidak mengganggunya lagi.

“Itu amaran saya kepada Fizz dan ia bukan bertujuan mencari publisiti murahan seperti yang diperkatakan.

“Saya tidak ‘menjual diri’ untuk cari rezeki, malah saya bukan penganggu rumah tangga orang.

“Penjelasan ini diharap dapat membersihkan semula nama saya. Barangkali imej seksi saya mengundang prasangka kurang baik, namun hakikatnya saya tidak pernah mengganggu sesiapa.

“Kepada yang bercakap buruk mengenai saya, jangan terlalu mudah menjatuhkan hukuman. Jika apa saya lakukan itu untuk mencari publisiti murahan, sudah lama saya buat, kenapa baru sekarang?,” katanya.

Menurut Farah dia hanya memuat naik kandungan perbualan selama dua minit saja dan tidak menyangka dalam tempoh sesingkat itu ada pihak menyebarkannya di Internet.

Tegas Farah, bukan dia memulakan perbualan sebaliknya Fizz yang menghubunginya selepas melihat kelibatnya di set penggambaran sebuah filem.

“Pada 3 Ogos lalu saya menemani kawan baik saya, Emma Maembong ke lokasi penggambaran di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

“Fizz turut membintangi filem itu. Pulang dari set penggambaran, dia menghubungi saya menerusi aplikasi WeChat. Entah dari mana dia mendapatkan nombor telefon saya,” katanya.

Sambung Farah, daripada perbualan biasa Fizz kemudian mula mengarut termasuk menunjukkan jumlah wang yang ada dalam akaun bank.

“Saya tahu akaun bank itu palsu. Kononnya dia mahu belanja saya membeli-belah dan kemudian bertanya adakah saya ‘menghiburkan’ orang.

“Saya masih simpan semua isi kandungan perbualan kami. Saya tidak tahan apabila dia mula bercakap yang bukan-bukan. Saya bukan perempuan murahan dan perosak rumah tangga orang,” katanya.

Farah berkata tindakan Almy memuat naik fotonya ke Instagram memburukkan lagi keadaan.

“Kenapa dia memuat naik empat gambar saya dalam Instagram miliknya berserta kata-kata ‘pengarah ambil­lah pelakon baru ini berlakon’?

“Kalau betul saya mencari publisiti mesti saya dapat banyak tawaran selepas kejadian itu. Namun, sampai hari ini tidak apa pun yang luar biasa, hari-hari yang saya lalui masih sama,” katanya yang kesal apabila ada pihak tidak bertanggungjawab mewujudkan akaun palsu Instagram Farah Mendoza.

Sumber: myMetro