Bubba turut menyertai sesi pembelajaran. |
CALIFORNIA - Seekor kucing diterima untuk menjadi pelajar di sebuah sekolah tinggi di San Jose kerana sering dilihat sentiasa merayau-rayau di sekitar bilik darjah sekolah terbabit.
Kucing yang diberi nama Bubba diterima untuk menjadi pelajar San Jose Leland High School malah haiwan comel itu juga diberi kad pengenalan pelajar.
Bagaimanapun, guru sekolah tersebut terpaksa belajar bagaimana untuk mendisiplinkan Bubba yang kebiasaannya akan menunggu di hadapan pintu kelas, membuat bising dan mengganggu sesi pembelajaran.
Memetik laporan The Independent, pemilik kucing itu, Amber Marienthal berkata, kucingnya yang diambil dari pusat jagaan haiwan pada tahun 2009 sering merayau-rayau di sekitar sekolah tersebut yang terletak bersebelah rumahnya.
"Kucing tersebut bukan hanya merayau-rayau di sekitar kawasan sekolah malah turut memasuki kelas ketika sesi persekolahan", katanya.
Tambahnya lagi, Bubba tidak akan pulang ke rumah sehinggalah sesi persekolahan tamat.
Dalam pada itu, Amber juga turut berharap agak kucingnya itu akan menamatkan 'pembelajarannya' dan pihak sekolah akan membenarkan Bubba menyertai majlis konvokesyen kelak.
Bubba menjadi 'pelajar’ pilihan sekolah tersebut dan turut menghiasi muka depan majalah dan akhbar sekolah.
Malah, kucing comel tersebut juga mempunyai 6,000 peminat di laman Facebook miliknya.