Seks Bebas, Tidak Guna Kondom Punca Utama Jangkita HIV Di Malaysia

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Hubungan seks bebas tanpa menggunakan alat perlindungan terus menjadi faktor utama kes jangkitan virus HIV di negara ini, kata Setiausaha Kehormat Yayasan Aids Malaysia (MAF) Hisham Hussien.

Malangnya, beliau berkata, kesedaran dalam kalangan masyarakat masih rendah mengenai perkara itu.

Mengambil contoh kes sepasang suami isteri, beliau berkata jangkitan virus HIV boleh berlaku apabila salah seorang daripadanya pernah melakukan seks bebas dan akibat tidak menggunakan kondom, ia akan memberi risiko jangkitan kepada pasangannya.

“Lebih teruk lagi jika si isteri mengandung dan berkemungkinan besar si anak akan turut mendapat jangkitan HIV daripada ibunya,” katanya pada sidang media sempena pameran ARTAID15 di sini, Isnin.

Turut hadir Pengarah Eksekutif MAF Jasmin Jalil, Pengarah Pusat Seni Segaris Jalaini Abu Hassan dan pelukis terkenal negara Ahmad Zakii Anwar.

Menurut statistik Kementerian Kesihatan, daripada 17,479 kes yang direkodkan sepanjang tahun 2010 hingga 2014, 8,094 daripadanya berpunca hubungan seks berlainan jantina.

Manakala, 5,507 kes berpunca daripada jarum suntikan dadah dan 3,052 kes akibat hubungan biseksual dan homoseksual.

Sehubungan itu, Hisham berkata golongan remaja dan sudah berkahwin perlu mempunyai kesedaran yang tinggi tentang kepentingan penggunaan kondom serta perlu sentiasa membuat pemeriksaan kesihatan di hospital ataupun klinik.

“Selain pendidikan moral dan agama, pendidikan seksual amat perlu ditekankan kepada segenap golongan masyarakat terutamanya dari peringkat sekolah dan universiti lagi,” tambahnya.

Selain itu, masyarakat juga perlu bersikap terbuka dalam membincangkan isu berkenaan bagi mengelakkan jangkitan HIV dan gejala pembuangan bayi menjadi semakin parah, katanya.

Dalam pada itu, ARTAID15b merupakan program pameran seni anjuran MAF dan Pusat Seni Segaris di Publika di sini, yang bertujuan mengumpul dana buat penghidap HIV wanita dan kanak-kanak di Malaysia.

Jalaini berkata sebanyak 23 karya terbaik daripada 19 artis akan dipamerkan dan dijual kepada orang awam pada harga antara RM5,000 dan RM60,000.

“Sasaran jualan karya-karya ini adalah sehingga RM400,000 dan hasilnya akan disumbangkan terus kepada MAF bagi tujuan pembelian alat perubatan, perlindungan dan program-program sampingan buat penghidap jangkitan ini,” katanya.

Pameran ARTAID15 akan berlangsung selama 10 hari bermula Jumaat ini hingga 31 Ogos. – BERNAMA