Guan Kak Heng |
Seorang bapa kepada mangsa tragedi MH370, Guan Kak Heng, 70, tidak pernah berhenti berharap mendoakan semoga anak perempuannya yang merupakan salah seorang penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu akan muncul suatu hari nanti di depan pintu rumah mereka di Bukit Gedung, George Town.
Malah bagi Kak Heng, dia lebih memilih untuk percaya bahawa anak perempuannya Huan Jin, 34 masih hidup meskipun serpihan pesawat yang ditemui telah disahkan daripada MH370 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, awal pagi tadi.
Menurut Kak Heng, prinsip itu akan dipegang selagi dia tidak melihat mayat anak perempuanya dengan mata kepalanya sendiri.
“Sejak 500 hari lalu, saya tidak pernah berhenti berdoa supaya akan ada jawapan (kehilangan MH370) tetapi akhirnya ketika saya mendapat jawapan, masih banyak persoalan tidak berjawab.
“Sehingga saya melihat mayat anak perempuan saya, saya tidak akan percaya kepada pengumuman yang dibuat.
“Dalam adat dan tradisi kami Cina, perlu ada mayat untuk percaya seseorang itu sudah mati supaya upacara keagamaan boleh dijalankan.
“Saya hanya tahu mengenai pengumuman itu apabila kamu (media) datang ke rumah saya kerana pengumuman di televisyen dibuat lewat malam,” katanya, memetik dari sumber The Rakyat Post, hari ini.
Tambah Kak Yeng, dia masih ingat akan pengumuman kehilangan pesawat itu yang disiarkan secara langsung tahun lalu sehingga dia menanggung perasaan sedih yang amat berat.
“Lebih setahun berlalu dan sekarang saya sudah lali dengan apa yang berlaku tetapi saya tetap mahu jawapan sebenarnya kenapa pesawat itu membuat pusingan U.
“Saya ada bermimpi anak perempuan saya pulang.. tetapi saya tidak mahu mengingatinya. Ia sungguh melukakan,” katanya lagi.
Pesawat MAS Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang daripada imbasan radar semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac tahun lepas. -Kedahnews.com