Selamat Berangkat Wahai DhuyuufurRahman", Semoga Mabrur Semuanya...


Musim haji tiba lagi. Penerbangan pertama (KT1) bakal haji dijadual berlepas hari ini, 16 Ogos bersamaan 1 Zulkaedah, insya-Allah. Tahun ini, jumlah yang dijemput menjadi duyufurrahman (tetamu Allah) adalah 22,320 orang. 

Pastinya, bakal-bakal haji gembira tidak terkira. Maklumlah, dengan menunaikan haji maka lengkaplah rukun Islam yang lima.

Dalam taklimat kepada kumpulan ketiga petugas Tabung Haji (TH) yang berlepas ke Jeddah, Rabu lalu di Kelana Jaya, Pengurus Besar Kanan (Haji) TH, Datuk Syed Salleh Syed Abdul Rahman memaklumkan Malaysia kini mempunyai senarai menunggu yang sangat panjang. Kini senarai menunggu itu mencecah 75 tahun.

Kefarduan menunaikan haji dinyatakan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: 
"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan me­nunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh". (al-Hajj: 27)
Untuk itu, amat penting kepada bakal haji melaksanakan segala rukun dan wajib haji dengan sempurna. Sebabnya, kefarduan haji itu adalah sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan. Justeru, hendaklah dilakukan yang terbaik. 

Bagi mencapai haji yang mabrur, bukan sahaja perlukan tumpuan dan keikhlasan beribadat di Tanah Suci. Ia juga memerlukan kawalan hawa nafsu yang cukup kental. Mereka yang mengerjakan haji perlu banyak bersabar terhadap apa juga mehnah dan cabaran.

Cabaran itu bermula apabila menjejak kaki di lapangan terbang Jeddah atau Madinah. Di pintu masuk utama Tanah Suci itu selalunya jemaah haji berhadapan dengan kerenah ‘orang Arab’. Kebanyakannya bekerja ikut ‘kepala mereka’. 

Bukannya mereka prihatin dengan tetamu-tetamu Allah yang keletihan selepas melalui perjalanan jauh antara lapan ke sembilan jam dari Malaysia untuk sampai ke sana. Sebaliknya, ada di antara mereka yang bertugas sambil lewa walaupun nampak barisan jemaah haji yang panjang untuk melepasi pemeriksaan imigresen.

Paling penting, jaga mulut dan elak riak. Jangan terlepas kata-kata yang mencaci, nista, bertengkar dan memburuk-burukkan orang. Jangan dicaci makanan jika tidak menepati selera kita atau terkurang masin di sana dan sana. Maklumlah memasak untuk jumlah puluhan ribu orang tidaklah semudah memasak untuk sekeluarga lapan atau 10 orang. (rujuk al-Baqarah ayat 197). 

Semasa di Tanah Suci, usahakan untuk solat berjemaah setiap waktu di Masjid Nabi dan Masjidil Haram. Jangan kita terpengaruh dengan perbuatan segelintir jemaah haji dari negara lain yang hanya solat di hotel. Sentiasa ingatkan diri yang tujuan kita ke Tanah Suci iaitu untuk melakukan ibadat semaksimum mungkin.

Dalam melakukan tawaf jangan pula kita terikut-ikut perbuatan jemaah haji lain waima mereka orang Arab sekalipun. Buatlah sebagaimana yang diajar dalam kursus-kursus oleh pihak TH. Jika ada masalah, jangan segan atau malu bertanya kepada pakar rujuk atau pembimbing haji yang disediakan oleh TH.

Sentiasalah bermunajat kepada Allah agar diberi kekuatan dan kemudahan beribadat. Pastikan juga kita menggunakan kesempatan ini berdoa di tempat-tempat mustajab. Kalau di Masjid Nabawi Madinah, pastinya Raudhah menjadi tum­puan. Di Masjidil Haram antara tempat yang mustajab berdoa adalah:
- Multazam - iaitu tempat di antara pintu Kaabah dan rukun Hajar Aswad. 
- Hijir Ismail - iaitu bangunan terbuka, berbentuk sete­ngah lingkaran berada di sebelah barat Kaabah. 
- Maqam Ibrahim - Maqam bererti tempat berpijak. Maqam Ibrahim adalah batu yang dipergunakan Nabi Ibrahim untuk berpijak ketika membina Kaabah. Menurut salah satu riwayat, batu ini adalah salah satu batu yang turun dari syurga seperti halnya hajar aswad.  
Paling penting perba­nyakkan berdoa dan ikhlas beribadat agar beroleh haji mabrur. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: 
"Haji yang mabrur itu balasannya adalah syurga." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sumber: Utusan