Selepas Kota Raja, Majoriti AJK PAS Shah Alam Pula Letak Jawatan

Gambar Hiasan
Selepas pengumuman perletakan jawatan AJK PAS kawasan Kota Raja semalam, hari ini, PAS kawasan Shah Alam dilaporkan mengikut jejak langkah serupa dengan kepimpinan tertinggi bertindak mengosongkan posisi mereka dalam parti.

Tiga pemegang jawatan tertinggi iaitu Yang Dipertua, Azli Yusuf; timbalannya, Zulkifli Mohd Nani dan Naib Yang Dipertua, Mohd. Jamil Abd. Rahim membuat pengumuman tersebut menerusi satu kenyataan media, semalam.

Keputusan tersebut turut dibuat oleh 18 orang Ahli Jawatankuasa PAS Shah Alam bersama-sama Dewan Muslimat yang mana keseluruhan kepimpinan tertingginya bertindak nekad melakukan perkara serupa.

Memetik kenyataan media yang dipanjangkan pihak mereka, “Ketua Muslimat, Timbalan Ketua Muslimat, Naib Ketua Muslimat turut meletakkan jawatan bersama-sama 11 AJK Dewan Muslimat PAS Kawasan Shah Alam.

“Keseluruhan AJK Dewan Himpunan Penyokong PAS, DHPP Kawasan Shah Alam juga meletakkan jawatan mereka.

“Terdahulu, Ketua Pemuda, Timbalan Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda telah meletakkan jawatan mereka bersama-sama dengan 10 orang AJK Dewan Pemuda PAS Kawasan Shah Alam.”

Siaran media berkenaan turut memaklumkan, tindakan tersebut sudah telah diumumkan secara rasmi di dalam Mesyuarat PAS Kawasan Shah Alam kali ke-5 sesi 2015-2017 yang berlangsung semalam.

Mereka juga menyifatkan penyerahan tugas kepada ajk baru dibuat dalam suasana penuh persefahaman dan kasih-sayang.

PAS Kota Raja bersama Ahli Parlimennya, Dr Siti Mariah Mahmud umum perletakkan jawatan mereka, semalam
“Perletakan jawatan ini bukan bertujuan untuk melemahkan jentera PAS di Shah Alam, tetapi kerana ingin bersama usaha perjuangan Islam melalui wadah  yang lebih kami yakini.”

Setakat ini, dua ADUN dari PAS dijangka bakal menyertai parti baharu Gerakan Harapan Baru (GHB) iaitu dari Hasnul Baharuddin dari Morib dan Saari Sungib dari Hulu Kelang dan langkah sama diambil tiga Ahli Parlimen iaitu Khalid Abdul Samad (Shah Alam), Hanipa Maidin (Sepang) dan Dr. Siti Mariah Mahmud (Kota Raja).

Walau bagaimanapun, desas-desus mengatakan mereka mengambil pendekatan menunggu dipecat oleh PAS Pusat berbanding meletak jawatan atau keluar parti ekoran terikat dengan sumpah bai'ah ketika dipilih sebagai calon PAS para PRU ke-13 sebelum ini. - Kedahnews.com