Shamsul Izrin (kanan) ketika melawat dan memberi sumbangan kepada orang kurang upaya (OKU) pada program Lawatan Kasih di Mukim Siong. |
BALING - Anak kelahiran negeri ini berpeluang menerima insentif Anak Kelahiran Negeri Kedah 2015 sebanyak RM100 bermula bulan ini.
Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Baling, Shamsul Izrin Ishak berkata, borang permohonan akan mula diedarkan pada 10 Ogos ini dan suami isteri yang layak boleh memohon.
Menurutnya, anak kelahiran ini yang memenuhi syarat yang ditetapkan akan menerima RM80 baucer barangan bayi dan RM20 untuk pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).
“Sesiapa anak negeri Kedah dan melahirkan bayi pada Januari tahun ini atau sepanjang tahun ini boleh mengambil serta mengisi borang untuk mendapatkan insentif disediakan kerajaan.
“Insentif ini sedikit sebanyak dapat ringankan perbelanjaan untuk membeli peralatan bayi mereka yang baru lahir, terutama keluarga yang susah.
“Kita memang adakan pemberian insentif setiap tahun, bagi tahun ini borang permohonan akan mula diedarkan pada 10 Ogos,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, bagi memudahkan orang ramai yang berada di daerah ini, borang akan diedarkan di setiap pusat khidmat Ahli Parlimen Baling, Dun Bayu, Dun Kupang dan penyelaras Dun Kuala Ketil.
“Kita harap semua dapat manfaat dan mengambil peluang ini. Segala pertanyaan lanjut boleh menghubungi kakitangan JKM yang bertugas,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Shamsuk Izrin berkata, JKM Baling akan mempertimbangkan bantuan bulanan bagi penyakit kronik sebanyak RM300 bermula September ini.
“Kita akan tengok penghidap penyakit kronik ini seperti kencing manis dan lain-lain jika memang memerlukan dan betul-betul tak mampu, kita akan bagi bantuan setiap bulan bermula bulan depan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian