Setiap Anggota Polis Di Perlis Dinasihat Rajin Berdamping Dengan Masyarakat

Ketua Polis Perlis, SAC Shafie Ismail
KANGAR – Setiap anggota polis di negeri ini dinasihat sentiasa mendampingi masyarakat untuk memudahkan mereka menjalankan tugas terutama dalam usaha membendung jenayah.

Ketua Polis Perlis, SAC Shafie Ismail berkata, kerjasama masyarakat amat penting untuk memberi maklumat kepada pihak polis kerana masyarakat setempat lebih cepat mengetahui sesuatu kes yang berlaku di tempat mereka.

“Justeru saya berharap ketua-ketua polis daerah dan ketua-ketua polis balai sentiasa turun padang untuk mendampingi masyarakat sama ada secara rasmi atau tidak rasmi agar masyarakat yakin bahawa kita serius dalam menjaga keselamatan diri dan harta mereka,” ujarnya.

Shafie menyatakan demikian semasa berucap pada perhimpunan bulanan bagi bulan Ogos 2015 Polis Kontinjen Perlis di perkarangan pejabat kontinjen di sini hari ini.

Menurut beliau, walaupun indeks jenayah di Perlis merekodkan penurunan 20 peratus sejak 1 Januari hingga 31 Julai tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas, tetapi setiap anggota tidak harus berasa leka dan selesa.

“Bagi saya banyak perkara yang belum selesai dan di luar sana masyarakat masih bercakap tentang kebimbangan menjadi mangsa jenayah yang memerlukan perhatian lebih serius dari kita untuk mengurangkan kebimbangan mereka,” tambah beliau.

Pada majlis itu beliau memakaikan pangkat kepada tujuh anggota, memberi surat penghargaan kepada empat anggota yang mematahkan satu cubaan samun pada 13 Julai lalu dan surat penghargaan personaliti contoh kepada empat penerima. – BERNAMA