Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari |
HULU TERENGGANU – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan berjumpa dengan kira-kira 45 pihak berkepentingan dalam perkhidmatan internet sebelum pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 dijangka dibuat Oktober nanti.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata dalam semakan kepada akta tersebut, SKMM bukan sahaja melihat daripada aspek kawalan terhadap media siber, malah juga kepada aspek pembangunan untuk menambah baik perkhidmatan sedia ada.
“Akta-akta ini sedang disemak, SKMM sedang melihat daripada aspek pembangunan sebab ia sentiasa berubah dari semasa ke semasa dan memang kita tekankan kepada media sosial,” katanya kepada pemberita pada majlis ramah Aidilfitri di Kampung Tok Lawit di sini Isnin malam.
Beliau berkata perjumpaan dengan pihak berkepentingan itu penting untuk mendapatkan beberapa pandangan serta pendapat sebelum pindaan terhadap akta berkenaan dilakukan.
Menurutnya, beberapa bentuk hukuman serta tindakan yang boleh diambil terhadap pihak yang menyalahgunakan internet juga sedang disemak semula untuk memastikan keberkesanannya pada masa akan datang.
Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata cadangan pindaan ke atas kedua-dua akta tersebut bukan bertujuan menyekat kebebasan rakyat menggunakan media sosial dan internet.
Salleh berkata ia adalah untuk memastikan dunia tanpa sempadan ketika ini tidak disalah guna sehingga boleh menyebabkan berlakunya jenayah. – BERNAMA