SPRM Enggan Layan Kerenah Pembangkang Mahu Berhimpun Depan Pejabatnya

Timbalan Ketua Pesuruhajaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mustafar Ali menjawab pertanyaan pemberita setelah meninjau pejabat Bahagian Operasi Khas (BOK) yang telah digeledah Polis Cawangan Khas Bukit Aman di Menara Prisma, Rabu malam. - Foto BERNAMA
ALOR SETAR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM) bagai enggan melayan sokongan parti politik pembangkang apabila menegaskan bahawa pihaknya melarang sebarang perhimpunan diadakan di semua pejabat SPRM kononnya bagi menyokong agensi itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, perhimpunan itu dibimbangi akan mewujudkan suasana tidak selesa kepada orang ramai.

“Meskipun SPRM menghargai sokongan mereka, SPRM memohon kerjasama agar tidak meneruskan tindakan mereka kerana bimbang ia akan mewujudkan suasana tidak selesa kepada orang ramai yang berurusan dengan jabatan-jabatan kerajaan memandangkan sebahagian besar pejabat SPRM terletak dalam kompleks atau bangunan Kerajaan Persekutuan.

“Pada pandangan SPRM memadai dengan sokongan yang telah diperlihatkan setakat ini dan memohon rakyat terus memberi kerjasama dengan SPRM dalam memerangi jenayah rasuah,” katanya dalam satu kenyataan media di ibu negara, hari ini.

Mustafar dalam pada itu menegaskan, rakyat sebenarnya boleh memberi kerjasama dalam memerangi rasuah dengan tidak memberi rasuah, tidak menerima rasuah dan melaporkan semua bentuk jenayah rasuah.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam mengarahkan semua ahli parti pembangkang mengadakan perhimpunan di pejabat SPRM di seluruh negara.

Perhimpunan itu kononnya bagi menunjukkan sokongan kepada SPRM yang sedang menyiasat pemimpin negara sedangkan parti pembangkang sering mengkritik SPRM sebagai sebuah agensi yang tidak telus selama ini. -Kedahnews.com