SPRM Sahkan Najib Tidak Ambil Wang 1MDB


KUALA LUMPUR – Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati dana sebanyak RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebenarnya adalah sumbangan penderma.

SPRM dalam satu kenyataan media memaklumkan, hasil siasatan rapi SPRM sebagai agensi yang bebas daripada pengaruh dan campur tangan mana-mana pihak mendapati wang itu bukan daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti didakwa segelintir pihak dan disebarkan di media sosial.

“Siasatan SPRM memfokus ke atas isu berkaitan dengan SRC International dan dakwaan kemasukan dana sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun Perdana Menteri manakala Polis Diraja Malaysia menjalankan siasatan berkaitan dengan 1MDB dan Bank Negara Malaysia menjalankan siasatan berkaitan kaedah dan tatacara kewangan.

“Laporan hasil siasatan berkaitan dana RM2.6 bilion telah dirujuk dan dimaklumkan kepada Peguam Negara. Hasil siasatan mendapati dana sebanyak RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah sumbangan penderma, dan bukannya dari dana 1MDB,” kata kenyataan itu hari ini.

SPRM dalam pada itu memaklumkan, siasatan berkenaan isu SRC International yang melibatkan dana RM4 bilion masih berjalan dan memberi jaminan siasatan itu berlangsung dengan bebas, telus dan profesional.

Sehubungan itu, SPRM berharap semua pihak bersabar dan memberi ruang kepada SPRM dalam menjalankan siasatan dengan menyeluruh dan menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan mengenai perkara itu selesai.

“Sebagai suruhanjaya yang bebas, SPRM bertanggungjawab menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional tanpa fear or favour dan tanpa mengira siapa yang terlibat. SPRM tidak akan membiarkan mana-mana pihak untuk mempengaruhi atau campur tangan dalam siasatan yang dijalankan,” tegas kenyataan itu.

Mengenai siasatan polis ke atas pegawai-pegawai SPRM, SPRM memberi jaminan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa lain namun mengulangi pendirian tiada pegawai SPRM yang terlibat dalam konspirasi mahu menjatuhkan Kerajaan.

“Tindakan yang diambil oleh SPRM adalah jelas semata-mata bagi menjalankan tugas dan fungsinya sebagai sebuah Suruhanjaya yang bebas.

“Tanggungjawab SPRM adalah menjalankan siasatan berhubung kes-kes rasuah dan bukannya bertujuan untuk menjatuhkan mana-mana pihak termasuk kerajaan,” jelas kenyataan itu. -Kedahnews.com