Ummu Shaikhah Stacy Anam |
"SEBAGAI seorang Islam saya maafkan mereka, sebab itu yang diajar dalam agama Islam," kata Stacy atau nama baharunya Ummu Shaikhah Stacy Anam, 25, ketika ditanya mengenai tindakan yang akan diambil terhadap pihak yang menyebarkan video dia mengucap dua kalimah syahadah semalam.
"Saya serahkan kepada pihak pengurusan Astro, tetapi secara peribadi saya sudah maafkan," katanya kepada pemberita pada sidang medianya di Pusat Penyiaran Astro, Bukit Jalil, hari ini.
Sementara itu, menjelaskan mengenai tujuannya memeluk Islam, Stacy berkata lahir dari hati yang ikhlas untuk mendalami agama Islam.
"Stacy masuk Islam bukan kerana mahu berkahwin seperti yang diperkatakan sebelum ini dan bukan juga disebabkan pengaruh orang lain atau pun Akim.
"Penghijrahan saya terjadi kerana atas dasar keinginan dan keikhlasan saya untuk mendalami Islam itu sendiri.
"Sekiranya Stacy mahu berkahwin lebih baik Stacy masuk Islam ketika mahu berkahwin sahaja. Sekiranya dia (Akim) bukan jodoh saya, saya tak kisah kerana saya memeluk Islam kerana saya ikhlas mahu memeluknya," katanya.