Suhakam Jamin Tidak Berat Sebelah Pantau Himpunan Jalanan Bersih 4.0?

Prof. Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memberi jaminan akan memantau perjalanan perhimpunan haram Bersih 4 secara adil meliputi semua pihak terlibat.

Pemangku Pengerusinya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid berkata, pemantauan itu tidak hanya menjurus kepada peserta perhimpunan itu seperti dilaporkan oleh kebanyakan media propembangkang.

“Wujud beberapa kekeliruan akibat salah faham yang tersebar di media massa berkenaan peranan Suhakam dalam memantau perhimpunan aman.

“Suhakam menjalankan fungsinya secara neutral dan tidak berat sebelah. Justeru pemantauan yang akan dilakukan kelak akan melibatkan seluruh aspek dalam menjamin hak berhimpun secara aman seperti yang termaktub di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, Mahmood Zuhdi meminta semua pihak yang terlibat dalam perhimpunan itu termasuk pihak berkuasa, penganjur dan orang awam supaya menghormati dan mematuhi sepenuhnya prinsip hak kebebasan berhimpun secara aman.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam menegur Suhakam kerana mahu memantau tugas polis dalam menangani peserta perhimpunan haram Bersih 4 pada 29 dan 30 Ogos ini.

Perhimpunan Bersih dilihat ramai pihak sebagai usaha terdesak pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan kebebasakan hak asasi secara melampau untuk melumpuhkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan secara besar-besaran.

Bersih 4 juga merupakan agenda peribadi ahli keluarga Anwar untuk membebaskan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu daripada penjara dengan mempergunakan rakyat. -Kedahnews.com