Sultan Johor Titah Tukar Balik Nama Kulaijaya Kepada Kulai


JOHOR BAHRU – Majlis perasmian Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Johor di sini pada Jumaat bukan sahaja mencatat sejarah pengisytiharan solat Jumaat yang pertama.

Malahan, acara berkenaan yang disempurnakan sendiri oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menjadi tajuk berita besar apabila baginda bertitah agar nama daerah Kulaijaya kembali kepada Kulai.

Perubahan untuk balik kepada nama asal itu diarahkan Sultan Johor dan berkuat kuasa serta-merta walaupun ia baharu diwartakan pada 29 Mac 2007; yang memecahkan bahagian utara daerah ibu negeri, Johor Bahru.


Bahkan titah baginda, sekalipun ada sesetengah nama tempat di negeri tersebut mungkin agak pelik bunyinya, namun itu tetap adalah nama yang pernah diberikan sendiri oleh nenek moyang kita sejak zaman dahulu lagi.

Serentak dengan majlis perasmian itu, Sultan Ibrahim turut meminta pihak kerajaan negeri mempertimbang semula bagi mencari nama lain untuk pusat pentabiran baharu Johor yang kini dinamakan sebagai Nusajaya.

Menurut baginda, nama Nusajaya tidak mencerminkan sejarah dan latar belakang tempat itu yang terletak dalam kawasan projek khas Wilayah Pembangunan Iskandar seluas 9,600 hektar dan dirasmikan pada 2007 lalu.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang hadir pada majlis berkenaan dilaporkan tidak memberi sebarang ulasan lanjut, namun beliau mengambil maklum mengenai titah arahan oleh baginda tersebut.

Turut hadir pada majlis perasmian masjid berkenaan ialah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Ismail Abdul Rahman Ibni Sultan Ibrahim.

Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Ismail Karim; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Johor, Datuk Rusli Ahmad.

Daerah Kulaijaya adalah salah satu daripada dua daerah baharu yang diwujudkan di Johor selain daerah Ledang di sempadan selatan negeri Melaka; hasil daripada pemecahan bahagian utara daerah Muar.

Kulaijaya ditadbir Pejabat Daerah Kulaijaya; merangkumi bandar Kulai sebagai ibu daerah, Ayer Bemban, Bukit Batu, Kelapa Sawit, Saleng, Sedenak, Seelong, Senai, Sengkang dan kampus Universiti Teknologi Malaysia.

Ia mula terkenal apabila bekas juara program realiti televisyen terkenal, Akademi Fantasia pada 2004, Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani kebetulan berasal dari Felda Taib Andak yang terletak di daerah ini.

Perasmian daerah baharu seluas 75,122 kilometer persegi ini telah diisytiharkan pada 21 Jun 2008 oleh Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail Sultan. – Agensi