Surah Al-Fatihah Dipohon Dalam Kehidupan Seharian Agar TidakTersesat


SURAH al-Fatihah atau juga disebut Ummul Quran yang kita baca setiap kali dalam sembahyang mengandungi perintah Allah SWT untuk mempelajari sejarah. Mungkin ramai yang tidak menyedari dan mempunyai kesedaran untuk membaca, mengkaji dan mendalami sejarah Islam.

Bermula daripada doa yang kita baca dan ucap setiap harinya yang bermaksud: 
"Tunjukilah kami jalan yang lurus (betul)". (al-Fatihah: 6) 
Dan jalan lurus, yang dimaksudkan di atas oleh para ahli tafsir itu adalah agama Islam.

Kemudian digambarkan ayat seterusnya dengan maksud: 
"(Iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula) jalan mereka yang sesat,". (al-Fatihah: 7)

Di sinilah perintah tersirat dan tersurat untuk mempelajari sejarah itu boleh kita fahamkan dan ia digambarkan melalui tiga golongan yang disebutkan dalam ayat terakhir itu iaitu;

1. Golongan yang telah diberi nikmat oleh Allah SWT.
2. Golongan yang dimurkai-Nya.
3. Golongan yang sesat.

Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya (Tafsir Ibnu Kathir 1/140, al-Maktabah al-Syamilah) menjelaskan bahawa golongan yang merasakan nikmat Allah ini dijelaskan lebih lengkap dalam surah an-Nisaa’ ayat 69-70 yang bermaksud:
"Dan barang siapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu : Nabi-nabi, para syiddiqin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya,".
Ada kata penghubung yang sama antara ayat ini dengan ayat dalam al-Fatihah. Iaitu kata An’am iaitu mereka yang telah dianugerahi nikmat. Sehingga Imam Ibnu Kathir mentafsirkan ayat dalam al-Fatihah tersebut dengan ayat ini.

Mereka adalah para nabi, para syiddiqin, para syuhada dan para solehin yang telah meninggal dunia tetapi perjalanan hidup mereka tercatat rapi dalam ukiran sejarah untuk dibaca dan difahami oleh kita semua.

Tolak kebenaran

Sementara itu, bagi golongan yang dimurkai Allah, Imam Ibnu Kathir menjelaskan bahawa mereka adalah golongan atau kelompok yang mempunyai ilmu tetapi kehilangan amalan, sehingga mereka dimurkai dan dilaknati.

Golongan ini diwakili oleh Yahudi. Sejarah memang mencatat bahawa mereka menentang Nabi Muhammad SAW walaupun mengetahui dengan yakin bahawa baginda adalah nabi yang dijanjikan hadir dalam kitab suci mereka sendiri.

“Demi Allah, sungguh telah jelas bagi kamu semua bahawa dia adalah Rasul yang diutus. Dan dialah yang sesungguhnya yang kamu jumpai dalam kitab kamu....”

Kata-kata itu bukanlah kalimah seorang sahabat yang sedang berdakwah di hadapan Yahudi tetapi pernyataan Ka’ab bin Asad, seorang pemimpin Yahudi Bani Quraizah.

Benarlah, Yahudi telah memiliki ilmu yang matang, tetapi mereka tidak mahu mengikuti kebenaran tersebut. Inilah yang disebut oleh surah al-Fatihah sebagai masyarakat yang dimurkai.

Para ulama menjelaskan bahawa tidaklah kaum Bani Israel itu diberi nama ‘Yahudi’ dalam al-Quran melainkan kerana setelah menjadi masyarakat yang rosak.


Rangkaian doa kita setiap hari dalam surah al-Fatihah tersirat kepentingan mempelajari sejarah.

Untuk dapat mengetahui secara lengkap bangsa dimurkai tersebut, bagaimana mereka, apa kederhakaan mereka dan lain-lainnya dalam menutup mata hati mereka sehingga mereka berbuat tidak selari dengan ilmu kebenaran.

Kerugian nyata

Bagi golongan ketiga iaitu mereka yang sesat, para ulama tafsir menjelaskan bahawa ia adalah masyarakat Nasrani. Ini kerana mereka itu seperti orang yang hendak berjalan menuju suatu lokasi tetapi tidak mempunyai ilmu tentang lokasi yang dituju.

Golongan itu kehilangan ilmu walaupun mereka masih beramal. Mereka mengikuti para pemimpin agamanya tanpa ilmu sehingga para pemimpin agama mereka itu boleh berbuat sesuka hati.

Allah berfirman yang bermaksud:
‘Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) Al-Masih anak Maryam, pada hal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan,’. (at-Taubah:31).
Kisah ‘Adi bin Hatim lebih menguatkan pernyataan ayat di atas. Daripada ‘Adi bin Hatim ra berkata: Aku mendatangi Nabi SAW dan di leherku ada salib dibuat daripada emas, aku kemudian mendengar Baginda membaca ayat:
“Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah. Aku menyatakan: Ya Rasulullah sebenarnya mereka tidak menyembah rahib-rahib itu. ‘Nabi menjawab: Benar. Tetapi para rahib itu menghalalkan untuk mereka apa yang diharamkan Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkan Allah, maka itulah peribadatan kepada para rahib itu. (riwayat Tirmizi dan Baihaqi dihasankan oleh Syeikh al-Albani).
Oleh itu, sangat penting kita menghayati kandungan surah al-Fatihah. Inilah doa yang selama ini kita mohonkan dalam kehidupan seharian kita agar tidak tersesat. Al-Fatihah merupakan surah yang pertama yang kita baca dalam solat. Surah yang mengandungi doa yang sering kita pohonkan kepada Allah SWT setiap masa.
"Tunjukilah kami jalan yang lurus (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula) jalan mereka yang sesat." (al-Fatihah: 6-7).

Sumber: Utusan