SWCorp Kedah menutup kawasan longgokan sampah bagi menangani masalah bau busuk dan sampah bertaburan. |
ALOR SETAR - Kebimbangan penduduk setempat mengenai masalah longgokan sampah di Lorong Seri, di sini, sejak beberapa tahun lalu, kini berakhir apabila SwCorp Kedah menutup tapak berkenaan.
Tinjauan Sinar Harian mendapati pihak bertanggungjawab menutup kawasan longgokan sampah tersebut untuk menangani masalah bau busuk dan sampah bertaburan.
Pengarah SwCorp Kedah Fadzilah Hassan berkata, pihaknya sudah membersihkan sisa-sisa longgokan sampah di kawasan berkenaan demi menyelesaikan masalah berkenaan.
Menurutnya, sebelum ini, longgokan sampah bertaburan sehingga ke atas jalan dan mengeluarkan bau busuk, sekali gus mengundang ketidakselesaan kepada orang ramai.
“Dalam pada itu, kami memasang tali kuning dan papan tanda amaran untuk memastikan tiada orang awam membuang sampah semula di kawasan itu.
“Kita mengambil keputusan menutup tapak berkenaan. Namun, orang awam boleh membuang sisa pepejal mereka ke dalam tong sampah disediakan di kawasan berhampiran,” katanya.
Beliau berkata, masalah sampah berlarutan sehingga menimbulkan rasa kurang senang apabila ada orang awam tidak membuang sampah ke dalam tong sebaliknya di tepi jalan.
Untuk itu, katanya, ada petugas diletakkan di sekitar kawasan berkenaan demi memantau dan memastikan tiada penduduk membuang sampah sesuka hati.
Sebelum ini, Sinar Harian pernah melaporkan masalah sampah bertaburan di Lorong Seri sehingga mencemarkan kawasan berkenaan, apabila tong sampah yang disediakan tidak digunakan sebaiknya.
Walaupun beberapa tindakan pernah diambil, sebilangan orang awam didakwa masih berdegil apabila ada tong sampah dibakar dan dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Sumber: Sinar Harian