Syabu Mula Jadi Kegilaan Anak Muda Di Kedah - AADK

Pengarah AADK Kedah, Mohammad Nazer Mustafa
ALOR SETAR - Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kedah mendapati kadar permintaan anak muda terhadap dadah jenis syabu di negeri ini makin meningkat.

Pengarah AADK Kedah, Mohammad Nazer Mustafa berkata, pengambilan dadah jenis syabu seolah-olah menjadi pilihan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA), swasta, pelajar sekolah dan pekerja.

"Ini terbukti apabila kira-kira 306 daripada 362 pelajar sekolah didapati positif syabu melalui ujian air kencing pada penggal pertama tahun ini.

"Malah bagi pelajar IPTA, 61 daripada 72 orang juga disyaki mengambil dadah syabu," katanya.

Menurutnya, kadar penggunaan syabu dalam kalangan pelajar IPTS adalah 99 peratus, kakitangan kerajaan (55 peratus) dan kakitangan swasta (50 peratus).

"Jumlah itu menunjukkan penggunaan syabu seolah-olah menjadi kegilaan generasi kini terutamanya anak muda.

"Walaupun kos dadah berkenaan agak tinggi berbanding heroin, namun dadah yang dijual dalam bentuk paket pada kadar harga sekitar RM50 tetap jadi pilihan," katanya.

Mohammad Nazer berkata, faktor mudah didapati berkemungkinan menjadi penyebab kadar permintaan terhadap syabu meningkat berbanding dadah jenis lain seperti kanabis.

Katanya, pengguna syabu sering menunjukkan tanda-tanda agresif, sekali gus berpotensi untuk mencederakan individu terdekat dengan mereka, misalnya ahli keluarga.

“Malah, pihak kami ada menerima laporan daripada sepasang suami isteri mengenai anak mereka yang mengugut untuk membunuh ibunya disebabkan pengaruh dadah,” katanya.

Oleh itu, katanya, pihak AADK Kedah giat melaksanakan pelbagai aktiviti demi memastikan lebih ramai anak muda tidak terjebak dalam gejala negatif ini.

Sumber: Sinar Harian