Tampal Sticker #TangkapNajib Di Kereta, Wanita Disiasat Polis


AKIBAT memasang pelekat kenderaan yang bertulis #TangkapNajib, seorang wanita di Kuching, Sarawak dipanggil untuk disoal siasat oleh pihak polis kerana dipercayai cuba menghasut.

Difahamkan, pelekat kenderaan itu ditampal pada cermin belakang kereta milik wanita berkenaan jenis Hyundai Elantra berwarna putih.

Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching, ACP Roslan Ahmad Bek dalam satu kenyataan mengesahkan laporan menyiasat wanita berusia 31 tahun itu.

“Lebih kurang jam 3 petang semalam (Isnin), sepasukan anggota polis yang sedang membuat rondaan di Jalan Kulas, Kuching telah terserempak dengan sebuah kenderaan yang diletakkan di tepi jalan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat perkataan #TangkapNajib berwarna putih dibelakang cermin kenderaan tersebut,” ujarnya.

Tambahnya lagi, hasil semakan pihak polis kemudian mendapati pemilik kenderaan tersebut adalah seorang wanita.

Susulan itu, pemilik kenderaan tersebut telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching untuk membantu siasatan.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan jika didapati bersalah wanita terbabit boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, Roslan turut menasihati orang ramai agar tidak mempamerkan pelekat yang seumpama itu dimana-mana bahagian kenderaan. 

Sumber asal: FreeMalaysiaToday