Penemuan beberapa botol air mineral yang tertera lambang "halal" yang sah dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) seolah mengesahkan bahawa misteri kehilangan pesawat penerbangan Malaysia Airlines MH370 bakal terungkai di dalam masa yang terdekat.
Creissen Philippe yang difahamkan berada di lokasi lapangan di Pulau Reunion telah muat naik beberapa keping foto di laman Twitter peribadinya, menunjukkan penemuan beberapa botol minuman pelbagai jenama antaranya, jenama Cactus yang terkenal di Malaysia.
Menurut lelaki itu, dia akan bertemu dengan pasukan penyiasat yang dihantar Kerajaan Malaysia bagi membantu siasatan di sana.
Sebelum ini, salah satu bahagian luar kapal terbang iaitu flaperon dijumpai menimbulkan dakwaan mengatakan bahawa ia milik pesawat MH370 yang dilaporkan hilang kira-kira lebih setahun dari tempoh tragedi menyayat hati itu berlaku.
Tragedi menghayat hati yang berlaku pada tanggal 8 Mac 2014 itu meninggalkan seribu persoalan kepada seluruh warga dunia apabila penerbangan dari Kuala Lumpur menuju Beijing, China dan membawa 239 penumpang serta anak kapal itu gagal dikesan hanya selepas sejam berlepas.
Misi mencari dan menyelamat (SAR) yang berlangsung di Lautan Hindi selama beberapa bulan turut gagal membuahkan sebarang klu sehinggalah penemuan flaperon minggu lalu. -Kedahnews.com