Tempatkan Lebih Ramai Anggota Keselamatan Di Sempadan - Ahmad Zaini


CHANGLUN - Kerajaan perlu menempatkan lebih ramai anggota keselamatan di sempadan negara dengan Thailand dan membina pagar keselamatan berteknologi tinggi bagi menangani masalah penyeludupan termasuk membabitkan manusia.

Adun Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar berkata, walaupun kawalan keselamatan di kawasan itu telah diperketatkan, aktiviti penyeludupan manusia masih lagi berlaku.

"Saya dapati akhir-akhir ini masih banyak lagi kegiatan pemerdagangan manusia berlaku di kawasan sempadan, itu kita tidak dapat nafikan. Ia masih lagi berlaku," katanya di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, kegiatan penyeludupan warga asing ke negara ini di sempadan Malaysia-Thailand itu dikesan berlaku berhampiran kawasan kompleks bebas cukai Bukit Kayu Hitam.

Mengenai pagar-pagar sempadan yang rosak di beberapa lokasi, Ahmad Zaini yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Kedah berkata, usaha membaikinya sedang giat dilaksanakan oleh kontraktor dilantik ketika ini.
Katanya, usaha melengkapkan pagar-pagar sempadan itu dengan kemudahan kamera

litar tertutup (CCTV) juga sedang giat dijalankan ketika ini bagi memperketatkan lagi kawalan keselamatan di sempadan.

Selain itu, beliau turut difahamkan beberapa syarikat telah pun membuat pembentangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) tentang aplikasi teknologi terkini yang boleh mengesan pencerobohan di sempadan Malaysia-Thailand itu.

“Pengaplikasian teknologi tinggi dapat membantu tugas-tugas mengawal sempadan negara daripada dicerobohi oleh mana-mana pihak termasuk sindiket penyeludupan manusia,” katanya.

Mengenai projek pembangunan semula Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin

(CIQ) Bukit Kayu Hitam bernilai RM400 juta itu, katanya, kerja-kerja tanah bagi projek itu sedang giat dilaksanakan ketika ini.

Beliau berkata projek yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 36 bulan itu dilaksanakan secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dan mampu menyelesaikan beberapa masalah trafik dan keselamatann yang dihadapi kini.  - Bernama