Terengganu Rancang Tubuhkan Sebuah University Al-Quran Di Besut

KUALA NERUS – Kerajaan Terengganu merancang untuk mewujudkan sebuah Universiti Al-Quran, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib.

Beliau berkata hasrat itu diyakini dapat direalisasikan kerana Terengganu kebetulan sudah mempunyai asas iaitu Institut Darul Quran (IQ) yang kini dalam proses untuk dinaik taraf menjadi sebuah Kolej Universiti.

“Tempat yang sesuai sudah pun ada antaranya seperti Taman Ilmu di Tembila, Besut yang boleh menjadi tempat dan lokasi yang baik untuk dijadikan tapak kampus induk universiti itu,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu beliau yang juga ADUN BN kawasan Ajil hadir merasmikan Karnival Mahabbah IKIMfm @i-Nelayan Kita 2015 anjuran stesen radio IKIMfm di Dataran Permata, Seberang Takir di sini pada Sabtu.

Ghazali berkata idea untuk mewujudkan Universiti Al-Quran dicetuskan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh sendiri semasa beliau pernah menjadi Menteri Besar Terengganu.

Ujarnya, beliau akan mengunjungi sekali lagi Idris dalam masa terdekat bagi membincangkan dengan lebih terperinci mengenai pelbagai perkara termasuk usaha penubuhan universiti tersebut.

Pada masa ini Terengganu mempunyai Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) selain kampus cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM). – Agensi