Tergamak Fitnah Hazami Meninggal Dunia, Ada Sesiapa Nak Mengaku?


Sebelum ini, kebiasaan masyarakat di negara kita sering mendoakan orang terlantar sakit semoga cepat sembuh sekiranya kita tahu tentang musibah yang menimpa mereka.

Reaksi itu dinamakan sebagai tindak tanduk orang yang sihat dan beradab.

Namun tidak dapat ditafsirkan pula bagi orang di zaman ini yang bukan saja tidak mendoakan supaya pesakit itu sembuh, malah ditambah pula derita pesakit itu dengan cerita fitnah dan tohmahan yang dilarang dari sudut agama.

Sama ada suka atau tidak, itulah yang berlaku terhadap penyanyi yang terkenal dengan lagu Sonata Musim Salju, Hazami yang telah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas disahkan mengidap penyakit Diverticular (komplikasi berkaitan usus), baru-baru ini.

Ketika beliau sedang berjuang melawan penyakit yang dihadapi, ada pula pihak tertentu yang menyebarkan cerita konon Hazami telah meninggal dunia?

Itulah yang kami dengar sejak malam tadi sehingga ada rakan wartawan yang meminta kepastian mengenai khabar berkenaan.

Untuk makluman semua, alhamdulillah setakat berita ini ditulis, penyanyi berkenaan masih lagi bernyawa dan belum meninggal dunia sebagaimana yang difitnahkan.

Memetik sebuah portal hiburan, Beautifulnara menjelaskan bahawa pengurus Hazami, Aszuad Zakaria berkata, penyanyi itu merasa terganggu apabila berita tersebut tersebar selepas menerima panggilan daripada beberapa pihak yang ingin mengetahui kesahihan berita itu.

Justeru itu katanya, Hazami sendiri telah meminta orang ramai tidak mempercayai khabar angin tersebut dan berharap agar tiada lagi menyebarkan berita berkenaan lagi selepas ini.

Malah lebih melegakan apabila Hazami juga dimaklumkan sebenarnya telah pun dibenarkan pulang ke rumah oleh doktor hospital yang merawatnya.

Menurut Aszuad lagi, sebenarnya Hazami sudah dibenarkan pulang oleh doktor pada hari Rabu dan kini tinggal bersama ibunya di Gombak.

Untuk kita yang memiliki akal yang sihat, diharap terus mendoakan kesihatan Hazami. -Kedahnews.com