Terikat Bai'ah, Pemimpin PAS Perlu Kosongkan Kerusi Jika Lompat Parti

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
KEMELUT perpecahan Pakatan Rakyat nampaknya memang sudah sampai ke peringkat amat parah apabila Pas mengesahkan bakal bertanding di kawasan majoriti bukan Melayu sekali gus menentang bekas sekutunya, DAP.

Perkara cukup mengejutkan pelbagai pihak itu dinyatakan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang dipetik portal AgendaDaily mengulas persediaan parti itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pas ujar beliau akan menampilkan lebih ramai calon Cina atau India dalam kalangan anggota Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), salah satu sayap parti itu yang terdiri daripada kaum bukan Melayu dan bukan Muslim.

Tuan Ibrahim berkata, calon daripada DHPP kemungkinan besar akan diletak di kawasan kerusi yang ditandingi DAP bertujuan bagi memecah undi DAP dan memberi pilihan kepada pengundi propembangkang tetapi anti-DAP.

“Kita memberi pilihan khususnya kepada pengundi Islam yang anti-BN dan kebetulan memang tidak berminat memberi sokongan kepada DAP. Kita akan buat analisa lebih lanjut mengenai isu ini,” jelas beliau lagi.

DAP dan PAS sebelum ini ‘berperang besar’ mengenai beberapa perkara dalam Pakatan Rakyat khasnya isu hukum Hudud di Kelantan sebelum gabungan longgar itu yang meniru konsep BN terpaksa dibubarkan awal Julai lalu.

Sebahagian besar daripada pemimpin Pas yang kalah teruk dalam pemilihan parti itu pada muktamar tahunan di Selangor lewat Jun lalu dilaporkan sedang berusaha keras mendaftarkan parti baharu bagi menggantikan Pas.

Pada PRU 2013 lalu, DAP menguasai 38 kerusi diikuti PKR dengan 30 kerusi dan Pas hanya ada 21 kerusi, manakala BN kekal memerintah apabila menang 133 kerusi dengan UMNO yang paling ramai iaitu 88 kerusi.

Sementara itu, mengulas mengenai Gerakan Harapan Baru (GHB), Lembaga Disiplin Pas kini menerima beberapa laporan daripada Pas cawangan terhadap pembabitan pemimpin parti itu dalam organisasi berkenaan.

Menurut Tuan Ibrahim: “Laporan tersebut sedang diteliti oleh pihak terbabit sebelum diambil tindakan lanjut. Setakat ini belum lagi diambil apa-apa tindakan disiplin terhadap pemimpin Pas yang terbabit GHB.

“Tindakan yang bakal diambil bukan semata-mata berdasarkan kritikan mereka terhadap kepemimpinan Pas yang ada sekarang. Pas mengamalkan dasar terbuka apabila sesiapa sahaja boleh menegur pemimpin.

“Namun kita lebih lihat apakah jawatan yang dipegang mereka dalam wadah baharu tersebut,” kata Tuan Ibrahim yang dipetik AgendaDaily menerusi daripada portal organ rasmi Pas, Harakahdaily baru-baru ini.

Tuan Ibrahim bagaimanapun berkata Pas sebenarnya tidak boleh mengambil tindakan hanya kerana faktor kehadiran pemimpin terbabit muncul secara kebetulan pada beberapa program anjuran GHB.

“Mereka masih lagi ahli Pas. Kita guna kaedah pujuk sebelum tindakan disiplin dikenakan. Dari segi peraturan parti jika mana-mana wakil rakyat sah masuk parti lain secara automatik dia akan hilang keahlian dalam Pas.

“Lagi pun semua calon Pas terikat dengan sumpah baiah, dia mesti mengosongkan kerusi yang dimenangi dan beri semula mandat kepada rakyat. Kalau dia tak buat maka dia langgar ikrar baiahnya sendiri,” tegas Tuan Ibrahim.

Beliau turut melahirkan rasa hairan kenapa GHB berterusan masih lagi menyerang kepimpinan Pas di Kelantan dengan membuat pelbagai andaian konon kerajaan negeri pentadbiran Pas itu akan tumbang tidak lama lagi.

Menurutnya strategi tersebut nyata boleh merugikan pihak pembangkang kerana secara tidak langsung memberi kelebihan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) menawan semula Kelantan pada PRU-14 yang akan datang.

Beliau juga berkata biarpun Pas dilihat seperti berjuang bersendirian, namun parti itu sebenarnya merupakan pembangkang yang paling lama pernah wujud di negara ini sebelum merdeka berbanding DAP dan PKR sendiri.

“Kalau ada parti pembangkang yang menang, namun tidak mencukupi majoriti untuk membentuk kerajaan, maka ketika itu mereka pasti akan ‘merujuk’ balik kepada Pas,” tambah Tuan Ibrahim. – Agensi