TGHA Gembira Ada Yang Keluar PAS, Anggap Satu Agenda Pembersihan Parti

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Parti PAS menganggap tindakan segelintir pemimpin dan ahlinya yang bertindak keluar dari parti itu sebagai satu proses yang menggambarkan berlakunya agenda "pembersihan" dalam PAS.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa perkembangan itu sebenarnya langsung tidak membimbangkan pihak parti, sebaliknya beliau optimis dengan tindakan pihak terbabit.

Abdul Hadi juga menyifatkan ia adalah pemutihan yang berlaku secara automatik di mana PAS tidak perlu bersusah payah untuk melakukannya di dalam parti tersebut.

"Itu pembersihan parti yang berlaku dengan sendiri. Apabila berlaku banjir bah, pasir berubah...

"Tidak risau, tidak risau. Gembira... gembira," katanya ketika hadir di Majlis Hari Raya Terbuka PAS Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir di majlis tersebut adalah Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh, serta ramai pimpinan PAS Negeri Terengganu termasuk Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat.

Selain itu, beliau memberitahu bahawa keahlian PAS semakin meningkat sejak akhir-akhir ini dan mendakwa kira-kira 4,000 ahli baharu telah pun didaftarkan oleh parti itu.

Malah kata Abdul Hadi, lebih kurang 3,000 borang keahlian baru lagi sedang diproses ketika ini.

Sebelum ini, beberapa pemimpin dan ahli PAS telah keluar parti termasuk bekas Ketua Pemuda PAS Melaka, Jauhar Mohd Dawi yang mengisytiharkan keluar parti dan menyertai Harapan Baru.

Selain itu, bekas Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari dan Ketua Pemuda PAS Shah Alam, Helmi Radzuan, serta 12 orang anggota jawatankuasanya turut bertindak keluar dari PAS.

Di samping itu, seramai 12 orang terdiri daripada pemimpin dan ahli PAS Kawasan Jelebu termasuk bekas Ketua Pemuda PAS Kawasan Jelebu, Mohd Faizal Fadli Idrus turut mengambil tindakan sama, kelmarin.

Mengulas mengenai Himpunan Bersih 4.0, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang memberitahu pihaknya hanya menghantar dua orang wakil ke perhimpunan tersebut pada 29 dan 30 Ogos ini kerana memaklumkan pihaknya akan menganjurkan majlis sendiri nanti.

Dua wakil yang disebut namanya oleh Abdul Hadi ialah Naib Presiden Pas, Idris Ahmad dan Timbalan Pesuruhjaya 1 Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad. -Kedahnews.com