TGHA Nasihat Ahli PAS Tidak Perbodoh Diri Sertai Demo

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menasihatkan ahli PAS agar tidak melibatkan diri dengan demonstrasi ganas dan bergaduh dengan pihak berkuasa.

Ujarnya, mereka tidak sepatutnya digunakan oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab sedangkan realitinya, pihak tersebut hanya menjadi pemerhati tanpa melibatkan diri.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Ulama Dunia itu, isu-isu berbangkit yang menjadi pertikaian seharusnya diselesaikan mengikut kaedah sebagaimana yang telah dianjurkan oleh Islam.

“Kita berdemonstrasi, bergaduh dengan pihak polis sedangkan orang lain memerhati. Jangan kita diperbodohkan (pihak tidak bertanggungjawab),” kata dalam satu kenyataan.

Kenyataan yang dikeluarkan Hadi itu merujuk kepada demontrasi jalanan yang dilakukan di hadapan Pusat Beli Belah Sogo, Sabtu lalu.

Dalam perhimpunan haram itu, 29 individu ditahan namun sebahagiannya telah dibebaskan.

Sebelum ini, pemimpin progresif PAS yang menjadi antara pemimpin utama kumpulan Gerakan Harapan Baru (GHB), Mat Sabu menyeru penyokong-penyokongnya supaya menyertai perhimpunan BERSIH bagi tujuan meminta Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri.

BERSIH dipercayai merancang untuk mengadakan protes secara besar-besaran di tiga tempat serentak, iaitu Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu pada 29 dan 30 Ogos depan. -Kedahnews.com