Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi |
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyangkal keras dakwaan segelintir pihak yang cuba memecah-belahkan UMNO dengan mendakwa kononnya akan berlaku rombakan bagi jawatan Menteri Besar di beberapa buah negeri dalam masa terdekat.
Ahmad Zahid turut meminta pemimpin yang menjadi mangsa tohmahan tersebut supaya tidak terpengaruh dan menyimpan perasaan kurang sedang berhubung dakwaan itu dengan menyisihkan diri seolah-olah terpinggir.
"Saya tidak mahu mendahului Perdana Menteri di dalam perkara ini (mengumumkan kedudukan mereka) tetapi yakinlah bahawa tidak akan berlaku rombakan ataupun sebarang pertukaran di mana-mana negeri dan jangan timbul spekulasi mengenainya.
"Jangan ada perasaan di dalam hati pemimpin berkenaan untuk rasa mereka akan diketepikan," kata beliau yang dipetik dari Astro Awani.
Sebelum ini, timbul desas-desus dari pihak tertentu mendakwa kononnya beberapa pemimpin berjawatan Menteri Besar seperti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob bakal digantikan dengan pemimpin lain.
Dakwaan itu tiba-tiba timbul tidak lama selepas perubahan jawatan dalam kabinet Datuk Seri Najib Razak yang menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan selaku Timbalan Perdana Menteri dan tiga menteri lain.
Justeru itu, Zahid menggesa supaya spekulasi tersebut yang sememangnya tidak benar agar dihentikan segera bagi mengelak fitnah berleluasa mengucar-kacirkan UMNO.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan kesemua pemimpin UMNO di semua peringkat untuk terus membuktikan kesetiaan masing-masing dan memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri tanpa risau akan kedudukan mereka. -Kedahnews.com