Tiada Siapa Arah, Tiada "Tangan Ghaib" - Ketua Polis Negara

Tan Sri Khalid Abu Bakar
Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya menjalankan siasatan dan tidak bertindak di atas arahan mana-mana pihak tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataannya semalam.

Khalid mengulas sedemikian mengenai tindakan PDRM menyoal siasat  pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain merampas beberapa dokumen dan peralatan elektronik milik badan pencegah rasuah itu.

“Saya ingin menegaskan di sini bahawa pihak polis hanya menjalankan tugas dan tidak sama sekali bertindak di atas apa jua bentuk tekanan atau arahan dari mana-mana pihak.

“Kami jelas dalam hala tuju siasatan ke atas kes di mana dokumen rasmi kerajaan dan perbankan yang dibocorkan, telah dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu untuk mengganggu kestabilan negara,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Khalid memaklumkan hasil siasatan terhadap SPRM akan dikemukakan kepada peguam negara untuk arahan lanjut.

“Umum harus faham bahawa setiap agensi kerajaan mempunyai tugas dan tanggungjawab tersendiri dalam menjalankan sesuatu siasatan. Namun ia tetap selari dengan tujuan asal iaitu untuk mencari kebenaran.

“Atas dasar ini, PDRM tidak sesekali mengganggu siasatan atau mencampuri tugas dan tanggungjawab SPRM atau bertindak dalam apa juga cara yang boleh menjejaskan hubungan kerja antara agensi-agensi yang terbabit.

“Berilah ruang dan peluang kepada agensi-agensi menjalankan tugas mereka tanpa sebarang campur tangan dari mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan tersendiri,” katanya lagi. - Kedahnews.com