Tidak Izin Bersih 4.0 Di Dataran Merdeka Kerana Sambutan Hari Kebangsaan 2015

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Md Amin Nordin Abdul Aziz.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dilaporkan telah membuat keputusan muktamad untuk tidak membenarkan perhimpunan Bersih 4.0 diadakan di Dataran Merdeka pada 29 dan 30 Ogos ini.

Ini berikutan, pada hari yang sama Dataran Merdeka akan digunakan untuk kerja-kerja persediaan untuk perarakan sambutan kemerdekaan yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi.

Perkara itu dimaklumkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz dalam sidang media selepas bertemu wakil Bersih, pagi Selasa.

“Saya beritahu mereka Dataran Merdeka akan digunakan untuk persiapan dan raptai sempena hari kemerdekaan negara kita,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini

Sementara itu, pertimbangan untuk membenarkan perhimpunan itu berlangsung di Padang Merbuk turut ditolak memandangkan kawasan itu akan digunakan oleh pasukan tentera untuk kerja-kerja logistik bagi perarakan sambutan Hari Kebangsaan.

Tambah Mhd. Amin, Dataran Merdeka dikhususkan untuk acara DBKL dan acara kebangsaan serta tidak menjadi dasar mereka membenarkan acara berunsur politik di situ.

Bagaimanapun, DBKL turut mencadangkan kepada wakil Bersih supaya mengadakan perhimpunan itu seminggu selepas sambutan Hari Kebangsaan. -Kedahnews,com