Tidak Mampu, Sekeluarga Di Pokok Sena Terpaksa Berteduh Di Rumah Separuh Siap

Mohd Zaini dan keluarganya terpaksa tinggal di rumah separuh siap kerana tidak mampu menyambung pembinaannya yang terbengkalai sejak tiga tahun lalu
POKOK SENA - Kekangan kewangan yang dihadapi menyebabkan sebuah keluarga di Kampung Gajah Mati, di sini, tidak mampu menyambung pembinaan rumah mereka yang terbengkalai kira-kira tiga tahun lalu.

Ketua keluarga, Mohd Zaini Arshad, 33 berkata, dia sekeluarga terpaksa tinggal di kediaman separuh siap itu kerana tidak mampu menyambung akibat kekangan kewangan dihadapi.

Menurutnya, rumah yang didiami bersama isteri dan lima anaknya hanya berdindingkan permaidani buruk serta papan lapis terpakai.

“Keadaan  rumah yang kami diami ini sangat daif dan saya merayu jika ada pihak sanggup membiayai bagi menyambung semula pembinaannya supaya kami dapat tinggal di kediaman yang sempurna,” demikian kata dari Kampung Gajah Mati.

Mohd Zaini berkata, dengan pendapatan sebanyak RM700 sebagai buruh, dia hanya mampu menyara lima anak yang masih bersekolah.

Jelasnya, untuk menyediakan kos pembinaan kediaman itu dia tidak mampu menyebabkan dia terpaksa memohon bantuan pihak lain bagi menyiapkannya.

“Saya juga tidak mampu membaik pulih rumah berkenaan untuk keselesaan anak-anak walaupun mereka sering ketakutan setiap kali ribut melanda kerana dinding rumah akan bergoyang.

“Keadaan bumbung yang bocor juga menyebabkan setiap hujan kami terpaksa menadah dengan baldi supaya lantai rumah ini yang tiada bilik ini tidak basah,” katanya.

Mohd Zaini berkata, kedaifan hidup mereka turut mendapati simpati saudara terdekat yang  menghulurkan bantuan air dan elektrik supaya anak-anaknya dapat membaca buku pada waktu malam.

“Saya merayu kepada pihak berkenaan membantu kami membina rumah ini agar anak-anak saya dapat menjalani kehidupan seperti orang lain,” katanya.

Sumber: Sinar Harian