"Tidak Perlu Keluar Malaysia, Itu Percakapan Bodoh...", Kata Adenan Satem

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor mengibarkan Jalur Gemilang pada majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2015 di Padang Merdeka di sini, malam tadi. - Foto BERNAMA
KUCHING – “Tidak perlu keluar Malaysia…ini adalah percakapan bodoh. Lebih kuasa kepada Sarawak…ya, tetapi tidak pemisahan,” tegas Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.

Katanya beliau akan terus berunding dengan kerajaan persekutuan untuk memperhebatkan pembangunan di Sarawak, namun beliau memerlukan sokongan padu seluruh rakyat Sarawak agar beliau dapat berunding dengan ‘suara yang lebih kuat’.

Beliau berkata Malaysia boleh dianggap sebagai sebuah payung besar yang sentiasa memberi perlindungan, keselamatan dan kesejahteraan buat semua negeri, dahulu, kini dan selamanya.

“Oleh itu jika anda semua punyai semangat cinta negara, buktikan ia dengan mengibarkan Jalur Gemilang di serata tempat sempena bulan kebangsaan ini,” katanya semasa berucap di majlis bulan kebangsaan dan kempen kibar Jalur Gemilang di Padang Merdeka di sini malam tadi.

Acara itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kira-kira 10,000 pengunjung yang membanjiri Padang Merdeka untuk memeriahkan sambutan sejak petang ini.

Kemudian mereka dihiburkan dengan persembahan pentas oleh beberapa penyanyi terkemuka negara, termasuk penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza Tarudin. – BERNAMA