TMJ Dakwa Pengadil Di Malaysia Dapat Arahan Dari Pihak Tertentu?

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim
KUALA LUMPUR – Pengadil Liga Malaysia seolah-olah mendapat arahan daripada pihak berkepentingan untuk memberi kelebihan kepada pasukan tertentu dalam pertandingan bola sepak negara ini.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, persepsi umum itu bertambah kuat dengan beberapa keputusan pengadil yang mencurigakan sejak kebelakangan ini.

“Perkara ini bukannya baru, tetapi telah berlarutan bertahun-tahun lamanya. Saya tidak mempertikaikan keputusan perlawanan, saya hanya mempersoalkan mutu pengadilan bola sepak negara.

“Apatah lagi ianya secara langsung memberi kesan kepada barisan pemain pasukan, terutama sekali dalam tempoh masa yang kritikal seperti sekarang,” titah baginda dalam satu kenyataan malam tadi.

Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan aksi Liga Super 2015 baru-baru ini tewas mengejut kepada Kelantan 4-1.

Keputusan itu bagaimanapun dipertikaikan ramai penyokong Harimau Selatan yang menyifatkan pengadil seolah-olah berpihak kepada lawan dalam perlawanan tersebut.

Kekalahan JDT pada malam tersebut membolehkan pasukan Pahang memintas kedudukan Harimau Selatan ditangga teratas untuk menerajui carta Liga Super miusim ini.

Sehubungan itu, Tunku Ismail mengingatkan kepada penyokong bola sepak Johor supaya terus berdiri dengan teguh di belakang pasukan mereka.

“Kita perlu sedar bahawa kita berdepan dengan pelbagai halangan dan rintangan selain menongkah arus melawan sistem yang telah berakar dalam bola sepak tanah air selama lebih 30 tahun,” titah baginda. -Kedahnews.com