Tokoh Melayu G25 Yang Pro-Pembangkang Juga Isytihar Sokong Langkah Najib?

Kumpulan Tokoh Melayu (G25)
KUALA LUMPUR – Kumpulan Tokoh Melayu (G25) yang sering memihak kepada pembangkang hari ini menyatakan sokongan mereka secara terbuka ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

G25 dalam satu kenyataan media berkata, kumpulan tokoh tersebut memuji langkah Najib mewujudkan penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) pada Jumaat.

“Kami G25 menyokong langkah Perdana Menteri yang memanggil semua parti politik supaya mengisytiharkan sumber dana politik parti masing-masing.

“Kami percaya cadangan ini merupakan satu tindakan yang positif kerana dapat membersihkan senario politik Malaysia,” kata kenyataan itu pada Sabtu.

G25 dalam pada itu menerangkan, derma politik merupakan perkara lumrah di seluruh dunia termasuk Malaysia dan tiada yang salah di sebalik isu pemberian derma tersebut.

Bagaimanapun, kata G25, perkara yang meragukan jika dana itu diterima daripada pihak luar negara yang menimbulkan persoalan sama ada terdapat agenda tidak baik pihak asing untuk campuri urusan politik negara.

Justeru, kata G25, cadangan mewujudkan undang-undang supaya semua parti politik wajib mengisytiharkan derma politik akan menyegarkan lagi demokrasi dalam negara.

G25 turut mencadangkan supaya undang-undang yang mahu diwujudkan itu nanti mengharamkan sumbangan asing, menetapkan had derma, kerajaan menyediakan dana kempen untuk setiap parti politik dan memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyiasat.

Najib di Putrajaya semalam mengumumkan penubuhan JKNMPP bagi merangka satu pelan pembiayaan politik berintegriti yang komprehensif dan inklusif.

Beliau dipetik berkata, dalam tempoh setahun, jawatankuasa itu akan menyediakan pelan tindakan pembiayaan politik berintegriti melalui pembaharuan dan penambahbaikan undang-undang dan seterusnya dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sehubungan itu, Najib berharap pihak pembangkang menerima cadangan tersebut yang diyakini mampu meningkatkan keyakinan bukan sahaja kepada ahli parti-parti politik, malah rakyat dan generasi akan datang.

Parti pembangkang sebelum ini pernah menentang cadangan supaya sumber dana setiap parti politik diisytiharkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebagai contoh, DAP membantah cadangan itu dengan alasan ia parti sara diri dan bimbang peraturan baharu itu bakal merugikan parti terbabit.

Terdapat dakwaan ada parti pembangkang dalam negara menerima derma politik dari entiti luar negara yang mempunyai agenda tidak baik terhadap Malaysia sebagai negara Islam. -Kedahnews.com