Zizan Razak |
DALAM keadaan yang kembali tenang selepas beberapa kali ditimpa pelbagai cerita kurang enak, Zizan sekali lagi menjadi perhatian apabila bekas kekasihnya, Emma Maembong kembali mengaitkan kisah lalu dalam kenyataan di sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.
Kurang senang dengan tindakan itu, Zizan bagaimanapun akui dengan ikhlas memaafkan Emma.
“Saya ini sangat mudah orangnya. Kalau ada perkara yang tidak puas hati sepatutnya dia boleh bercakap dengan saya.
“Kalau mahu uar-uarkan di media pun, tolong fikir air muka mak ayah saya sebab apa yang keluar itu sangat memalukan. Seharusnya dia harus berfikir dahulu sebelum bercakap.
“Kalau mahu lihat saya kecoh-kecoh bukan sekarang sebab usia saya pun sudah 31 tahun dan tidak sesuai untuk menjadi orang seperti itu,” jelasnya.
Enggan ambil pusing apa yang dikatakan terhadap dirinya, Zizan bagaimanapun memaafkan bekas kekasihnya itu.
“Apa yang dikatakan, saya tidak ambil kisah malah mahu ketepikannya. Saya maafkan dia dan saya sendiri mahu memohon maaf sekiranya ada perkara yang kedengaran tidak elok.
“Tentang kenyataannya saya ‘playboy’ atau tidak, itu bukanlah urusan dia. Lagi pun dia sudah berbahagia.
“Saya sendiri tidak pernah mengganggu hidup dia malah mendoakan yang terbaik,” tegasnya.
Ummi Nazeera jadi pengganti?
Selepas hubungan cinta yang terjalin selama dua tahun bersama aktres popular itu terhenti di tengah jalan, pelbagai spekulasi timbul mengenai jodohnya.
Selepas spekulasi mengenai gadis sekampung Nor Edura Diyana yang bakal dijodohkan dengannya, kini timbul cerita baharu yang mengaitkan namanya bersama aktres Ummi Nazeera.
Khabar angin itu lebih kukuh selepas ada sumber yang mengatakan mereka berdua pernah terlihat bersama di sebuah restoran.
Mengesahkan bahawa dia dan Ummi berjumpa di sebuah restoran, pengacara Akademi Fantasia 2015 ini menegaskan ia berlaku secara kebetulan dan pertemuan itu ditemani pembantu peribadi masing-masing.
“Memang kami keluar bersama di sebuah restoran dan ketika itu bukan berdua. Itu pun secara kebetulan apabila kami ada urusan kerja di tempat yang sama.
“Saya mengenali dia selepas terlibat dengan lakonan filem Langit Cinta. Pada awalnya kami agak kekok tapi selepas bekerja dia antara kawan yang sangat baik.
“Saya menghormati dia sebagai seorang kawan dan tidak lebih dari itu. Saya tidak mahu berfikir lebih sebab apa yang kami lihat kami selesa berkawan,” tegasnya.
Sumber: Sinar Harian