Tolong Jangan Cemar Imej Penjawat Awam Negara - Ali Hamsa

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berbual mesra dengan para penjawat awam selepas majlis ramah mesra Ketua Setiausaha Negara bersama penjawat awam di Dewan Jemerlang INTAN Kampus Wilayah Selatan( IKWAS) Kluang kelmarin. - Foto Bernama
KLUANG - Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa mengingatkan penjawat awam supaya tidak melibatkan diri dalam sebarang kegiatan atau perbuatan yang mencemar imej perkhidmatan awam, menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara. 

Beliau berkata, sebagai pihak yang memikul amanah rakyat selain berikrar dan menandatangani Aku Janji kepada kerajaan, penjawat awam perlu mengelakkan sebarang persepsi negatif terhadap kerajaan.

"Penjawat awam tertakluk kepada Perintah Am, jadi kena ikut peraturan sedia ada," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama penjawat awam Johor di kampus Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Wilayah Selatan, di sini kelmarin. 

Ali berkata, banyak kebocoran maklumat dan dokumen rahsia kerajaan berlaku kebelakangan ini terutamanya yang disebarkan melalui media sosial. 

Menegaskan perkara terbabit tidak sepatutnya berlaku dan merupakan kesalahan amat serius, beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap penjawat awam yang membocorkan rahsia-rahsia kerajaan mengikut undang-undang berkaitan seperti Akta Rahsia Rasmi Kerajaan 1972. 

Beliau berkata penjawat awam perlu menilai dengan bijak dan merujuk kesahihan maklumat daripada pihak berkaitan terlebih dahulu bagi mengelakkan mereka terjebak dengan penyebaran berita palsu atau fitnah. 

Ali berkata dalam masa yang sama mereka juga perlu membantu agensi atau jabatan masing-masing menghebahkan aktiviti dan maklum balas berkaitan agensi atau jabatan mereka menerusi laman sosial. 

"Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi pada masa kini mewujudkan fenomena dunia tanpa sempadan termasuk kemasukan maklumat tanpa tapisan yang disebar luas dan dikongsi laman Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya.

"Namun, dalam kita aktif menggunakan media baharu ini, kita juga harus sedar bahawa terdapat banyak penipuan yang disebarkan. Oleh itu, sebagai penjawat awam, kita harus sedar dan bertanggungjawab terhadap apa yang kita sebarkan di alam maya," katanya. 

Mengenai perhimpunan Bersih 4.0 yang akan diadakan pada 29 dan 30 Ogos ini, Ali menasihatkan penjawat awam supaya tidak terlibat dengan aktiviti seumpama itu dan tindakan sewajarnya akan dikenakan terhadap mereka yang berdegil. 

Katanya, walaupun tidak diketahui dengan jelas apa yang akan dicadangkan menerusi perhimpunan itu, ia ternyata akan menjejaskan imej penjawat awam di mata rakyat.

Terdahulu, Ali yang merupakan anak jati Kluang turut melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Aris Bendahara, di sini, yang merupakan sekolah lamanya sewaktu menerima pendidikan peringkat menengah dari 1968 hingga 1973.

Pada lawatan itu, beliau yang diiringi isterinya Puan Sri Rohani Abdullah mengimbas nostalgia zaman persekolahan dengan melawat kelas lamanya dan berjumpa beberapa rakan sekelas serta guru yang mendidiknya ketika itu. - Bernama