"Tolonglah Kami..." Rayu Ibu Tunggal Dan Anaknya Di Sik, Kedah


SIK - Hampir 30 tahun ibu tunggal Siti Sarbiah Awang tinggal di rumah yang daif, dengan keadaan dinding yang uzur serta dimakan anai-anai.  

Beberapa bahagian dinding ditutup dengan zink dan plastik, dan ketika hujan, hampir semua bahagian dalam rumah digenangi air akibat atap yang bocor di sana sini.

Kedinginan hidup Siti Sarbiah, 57, bersama anak tunggalnya semakin terasa semasa Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Tiada wang untuk mengadakan persiapan menyambut perayaan.  

Secebis pendapatan dari kerja menoreh getah, dan bantuan RM100 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat perlu dijimatkan untuk belanja sara hidup bersama anak tunggalnya yang masih bersekolah.  

Nur Eisya Balqis Ngah, 14, belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sik. 

Kini Siti Sarbiah sekali lagi tampil merayu untuk bantuan rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).  

"Dalam tempoh tiga tahun lepas sudah banyak kali saya merayu, namun tidak pernah mendapat jawapan dari pihak berwajib," katanya. 

"Sudah berpuluh kali berulang alik memohon bantuan rumah, tapi tak dapat.

"Banyak surat telah saya hantar, tapi tak ada jawapan," ujarnya mendayu. - Bernama