TPM Jangka Ketua Komplot Gulingkan Kerajaan Temui PM Petang Ini

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi
Identiti pemimpin UMNO yang didakwa mengetuai komplot mahu menggulingkan kerajaan dengan cara mengumpulkan surat akuan bersumpah Ahli Parlimen pembangkang terus menjadi teka-teki.

Namun menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi, identiti ketua komplot itu bakal terdedah petang ini kerana individu itu dikatakan akan menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebentar lagi.

Zahid berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Tampin, pagi Ahad.

Katanya, pemimpin berkenaan sudah menyedari perbuatan yang dilakukannya adalah salah.

“Jadi dia akan jumpa Perdana Menteri dan Presiden UMNO petang ini,” katanya tanpa mendedahkan di mana lokasi pertemuan itu akan diadakan.

“Maklumat saya tidak datang dari tepi jalan. Ia datang dari seseorang yang hadir sama dalam mesyuarat komplot itu,” katanya lagi.

Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri bagaimanapun enggan mendedahkan identiti pemimpin yang terlibat dalam cubaan kotor cuba menggulingkan kerajaan. -Kedahnews.com