TPM Tegas Miliki Maklumat Gerakan Guling Kerajaan Libatkan Tokoh UMNO

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap di mesyuarat Umno bahagian Ampang, Sabtu. -foto THE STAR
KUALA LUMPUR – Terdapat individu yang sedang berusaha untuk mendapatkan akuan berkanun (SD) daripada kedua-dua belah parti politik kerajaan dan pembangkang dalam usaha untuk menggulingkan kerajaan.

Dakwaan itu didedahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sambil menambah, beliau telah menerima maklumat mengenai perkara tersebut daripada sumber yang sangat dipercayai.

“Orang itu adalah pemimpin UMNO dan Barisan Nasional yang kini bekerjasama dengan 87 ahli Parlimen dari pembangkang untuk menentang pihak kerajaan sendiri.

“Hairannya ia diketuai oleh seorang pemimpin dari UMNO dan BN. Saya tidak akan sebut nama-namanya tetapi ia akhirnya akan terdedah dengan sendirinya.

“Sebagai Menteri Dalam Negeri, saya tidak akan mengizinkan ianya berlaku,” tegas beliau pada mesyuarat UMNO Bahagian Ampang di sini pada Sabtu.

Ahmad Zahid berkata, beliau menerima maklumat bahawa terdapat peguam sedang membuat persediaan untuk membentangkan kertas memorandum tujuh muka surat kertas kuning bersama dengan SD.

Ia untuk membuktikan konon kumpulan mereka itu mempunyai sokongan majoriti dalam Parlimen.

“Saya dapat ‘cium bau’ ada usaha dilakukan oleh tokoh tertentu dan didalangi tokoh tertentu untuk dapatkan SD dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang.

“Pihak ini cuba menarik ahli Parlimen BN untuk tumbangkan kerajaan sedia ada melalui pintu belakang. Mereka tidak boleh menunggu hingga pilihan raya umum akan datang dan mereka cuba menggunakan pintu belakang.

“Saya tidak akan membiarkan ia terjadi,” jelas Ahmad Zahid. – mStar